Sukan Hari Ini

United Juga Perlu Waspada Dengan Liverpool, Kata Robertson

PERTAHANAN Liverpool, Andy Robertson, risau menjelang pertemuan dengan Machester United, Ahad ini, namun menegaskan seteru mereka itu juga perlu berwaspada dengan pasukannya.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu akan berkunjung ke Old Trafford bagi meneruskan cabaran dalam kelompok teratas Liga Perdana Inggeris yang kini diketuai Manchester City dengan kelebihan jaringan.

United, yang semakin menyerlah di bawah bimbingan jurulatih sementara, Ole Gunnar Solskjaer, kini melonjak ke tangga keempat dengan rekod sembilan perlawanan tanpa kalah.

Robertson sedar cabaran yang akan dihadapi pasukannya, namun berkata Liverpool juga mempunyai kebolehan untuk memberikan kesukaran buat lawan.

“Ia perlawanan yang besar menentang Manchester United, ia sentiasa besar apabila kami berdepan mereka.

“Kami mempunyai satu perlawanan dalam tangan dan kami akan memanfaatkan situasi itu,” katanya selepas Liverpool diikat Bayern Munich 0-0 dalam Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi, lapor Stadium Astro.

“Ia perlawanan yang hebat dan mereka kini seakan-akan pasukan baru dengan gaya bola sepak yang hebat.

“Saya berasakan kami perlu berwaspada dengan mereka dan mereka pasti sedar mereka juga perlu berwaspada dengan kami.

“Ia akan menjadi perlawanan yang menghiburkan dan kami berharap dapat memberikan yang terbaik dalam perlawanan itu.

“Jika dilihat dalam senarai pemain mereka, ia dipenuhi pemain bintang.

“Mereka akan turun dalam perlawanan itu dengan skuad yang mantap.

“Mereka mempunyai pemain yang baru pulih daripada kecederaan untuk memperkuatkan pasukan.

“Kami tahu apa yang akan kami hadapi dan kami perlu menyekat pemain utama mereka yang berbahaya.

“Harap-harap kami dapat memberikan ancaman kepada mereka dan memperoleh keputusan yang memihak kami,” katanya.

Liverpool gagal menghasilkan sebarang jaringan ketika diikat Bayern 0-0 dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah.

Robertson mengakui pasukannya tidak layak menang dalam pertarungan di Anfield itu disebabkan ketumpulan jentera penyudah.

“Keputusan seri itu keputusan yang adil dan peluang masih terbuka buat kedua-dua pasukan.

“Sebelum ini, penyerang kami melaksanakan tugas dengan baik, jadi mereka tidak sepatutnya dipersalahkan.

“Mungkin ada yang terpaksa melakukan percubaan awal atau saya dan Trent (Alexander-Arnold) terlalu cepat melakukan hantaran silang.

“Perkara seperti itu akan terjadi terutama dalam perlawanan besar.

“Kami perlu beraksi lebih kemas selepas ini,” tambahnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");