Perak Hari Ini

“Walau 6 Tahun Berlalu, Tragedi Lahad Datu Masih Segar Dalam Ingatan”

IPOH: Tragedi pencerobohan berdarah di Lahad Datu, Sabah oleh pengganas warga Filipina masih kekal diingatan Timbalan Komandan Pasukan Gerakan Khas Komando 69,  Abdul Rani Alias.

Katanya walaupun sudah enam tahun berlalu namun, insiden yang telah meragut dua anggotanya sangat memberi kesan kepadanya dan keseluruhan warga Komando 69.

Ujarnya dalam pertempuran pertama pada 1 Mac 2013 , di Kampung Tanduo FELDA Sahabat, Asisten Superintendan Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin Daud telah terkorban.

“Sepanjang saya menyertai Komando 69, ini merupakan pertempuran seumpama ini, selepas era komunis.

“Saya tak boleh lupa ketika serangan itu, ramai anggota cedera termasuk seorang di sebelah saya ketika itu, Koperal Mohd Qaiyum A’iqal Zolkipli.

“Saya lihat sendiri bagaimana peluru tepat terkena pada bahunya dan membuatkan dia terpelanting ke belakang. Saya juga tak boleh lupa tembakan peluru bertalu-talu ke arah kami,” katanya.

Jelasnya, pada ketika itu mereka tidak diarahkan untuk bertempur sebaliknya hanya untuk melakukan tinjauan dan pengosongan kawasan.

Namun kata Abdul Rani, musuh telah berjaya menghidu kedatangan mereka tatkala ternampak sekumpulan anggota Komando 69 daripada kumpulan lain sedang bergerak maju ke kawasan mereka.

Katanya lagi, beliau mengetuai kumpulan bagi Sektor Delta manakala dua anggota yang gugur itu daripada kumpulan bagi Sektor Charlie dan Sektor Beta.

Menceritakan tentang detik-detik menerima perkhabaran tersebut, walaupun sedih, Abdul Rani berkata ia tidak sedikit pun mematahkan semangat mereka dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara.

Sepanjang operasi di sana, beliau berkata keadaan persekitaran kawasan kelapa sawit sangat mencabar bagi mereka.

“Tidak tidur 2 hari itu biasa. Kawasan di situ pula tidak ada sumber air. Sungai pun tidak ada. Tidak makan 2 hari juga biasa bagi kami,” katanya dalam satu sidang media di Kem Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta, di sini, hari ini.

Bagi mengingati pengorbanan kesemua 200 lebih anggota Komando 69 dan pasukan yang lain dalam operasi tersebut, Majlis 1313 Sumbangsih Warisan 69 Komando akan diadakan pada 1 Mac ini di kem tersebut.

“Antara pengisinya kita akan mengadakan program bual bicara bagi mengenang kembali peristiwa tersebut.

“Antara yang akan menjadi panel ialah Bekas Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Ismail Omar; Bekas Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Abdul Rashid Harun serta Bekas Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman,” katanya.

Tambah beliau, majlis yang diadakan untuk warga Komando 69 itu turut akan diadakan majlis penyampaian sumbangan kepada anak dua anggota yang terkorban serta majlis bacaan yassin dan tahlil.

Dalam pada itu, Abdul Rani berharap agar orang ramai dapat menghargai jasa kesemua anggota keselamatan negara yang tidak kenal penat lelah mempertahankan tanah air.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");