Membawang Hari Ini

XPDC Wujud Tabung Khas Bantu Yazit

KUALA LUMPUR: Kumpulan XPDC terpanggil menggerakkan tabung khas untuk Yazit Ahmad pada Konsert Ulang Tahun Ke-30 XPDC Raja Metal Gegar Utara di Pulau Pinang, 2 Mac depan, bagi meringankan beban pemain dram berkenaan.

Pemain bes kumpulan itu, Zuar, berkata mereka sepakat untuk membantu selepas dimaklumkan mengenai keadaan Yazit yang terpaksa bekerja walau menghidap sakit buah pinggang kronik demi menampung kos dialisis.

“Sebagai teman seperjuangan, kami harap sokongan menerusi tabung itu nanti dapat digunakan untuk rawatan cuci darah yang perlu dilakukannya empat hari seminggu.

“Penonton boleh menghulurkan sumbangan mereka pada konsert di Tapak Ekspo Seberang Prai Jaya. Bagi kami, jika bukan kawan sendiri yang sama-sama membantu, siapa lagi?

“Hari ini, dia berdepan ujian, siapa tahu mungkin pada masa akan datang kami pula menerima nasib sama? Pada waktu sebeginilah sokongan rakan mampu menguatkan semangatnya,” katanya pada sidang media mengumumkan konsert terbabit, di sini.

Terdahulu, dalam laporan BH Online, Yazit, 57, yang disahkan mengalami masalah buah pinggang sejak 10 tahun lalu perlu menjalani dialisis membabitkan kos mencecah RM1,000 sebulan.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu mengakui sanggup menyertai pemuzik jalanan biar hanya mendapat upah RM30 selepas dibahagikan bersama rakan lain memandangkan bantuan kewangan daripada agensi berkaitan bukanlah sepenuhnya.

Sementara itu, Zuar atau Azuar Md Tasi, 51, memaklumkan dia bersama anggota lain termasuk Mael (vokalis), Amy (dram) dan Jeff (gitar utama) yakin peminat mereka sudah maklum dengan konsep XPDC Kita Peng-Yu yang cukup kental bersama muzik metal.

“Kami berempat selesa dikenali sebagai XPDC Kita Peng-Yu yang tampil di setiap persembahan dengan irama metal dan punya keunikan tersendiri.

“Rasanya orang yang kenal dengan muzik kami tahu perbezaan antara XPDX Kita Peng-Yu dengan sebuah lagi kumpulan, malah peminat terbabit yang meminta kami ‘turun’ ke utara menghiburkan mereka,” katanya.

Tiket menyaksikan persembahan band yang popular dengan lagu C.I.N.T.A, Semangat yang Hilang dan Titian Perjalanan di Pulau Pinang itu dijual pada harga RM50. Konsert terbabit bakal menyaksikan Kristal muncul sebagai kumpulan undangan.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");