Panasnya Hari Ini

Zakaria, Aiman ‘Berentap’ Di Semenyih

BN mempertaruhkan bekas pegawai pentadbir Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai calon mereka dalam usaha pembangkang merampas kerusi Dewan Undangan Negeri Semenyih.

Zakaria Hanafi, 58, yang juga orang tempatan itu dipilih daripada enam nama yang disenarai pendek dikemukakan Umno Hulu Langat.

Mengumumkan nama Zakaria, Pemangku Pengerusi BN, Mohamad Hasan menggesa pengundi di Semenyih menjadikan PRK berkenaan sebagai referendum mereka terhadap prestasi yang ditunjukkan kerajaan PH.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi.

Sementara itu Bendahari Bersatu Hulu Langat yang juga menantu bekas Adun Semenyih, Muhammad Aiman Zainali, sebagai calon PH.

Nama Muhammad Aiman diumum sendiri Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, di Taman Pelangi sebentar tadi.

PRK Semenyih dijadual diadakan pada 2 Mac ini. Kerusi berkenaan kosong ekoran kematian penyandangnya Bakhtiar Mohd Nor pada awal pagi 11 Jan lalu.

Dalam PRU ke-14 tahun lalu Bakhtiar merampas kerusi Semenyih dengan kemenangan selesa apabila mendapat 23,428 undi dan dipisahkan daripada pencabar terdekat dengan perbezaan 8,964 undi.

Bagaimanapun untuk rekod pada 9 Mei 2018 BN dan PAS masing-masing menurunkan calon berasingan.

Kali ini kedua-dua parti pembangkang terbabit bersetuju meneruskan kerjasama dengan meletakkan satu calon saja.

Selain BN dan PH, Parti Sosialis Malaysia juga akan menyertai saingan tersebut dengan meletakkan calon mereka, Nik Aziz Afiq Abdul, 25.

Zakaria berkhidmat di UKM di antara 2005 hingga 2016. Beliau memiliki ijazah Sarjana Muda Pembangunan dari universiti sama pada 2001.

Muhammad Aiman pula baru berusia 30 tahun dan memiliki ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari UiTM Shah Alam.

Ketika ini dia sedang mengikuti pengajian di peringkat doktor falsafah dalam bidang yang sama, juga di pusat pengajian tinggi sama.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu kini bertugas sebagai seorang jurutera.

Berucap kepada penyokong PH, Muhammad Aiman berkata dia meminta pengundi di Semenyih memberi keyakinan kepadanya membawa suara mereka ke Dewan Undangan Negeri Selangor.

“Saya merayu pengundi-pengundi untuk memberi undi kepada saya bagi memenangi PRK ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");