Jenayah

19 Individu Ditipu Syarikat Kopi, Kerugian RM735,000

KUANTAN: Seramai 19 individu di negeri ini membuat laporan polis mendakwa menjadi mangsa penipuan skim cepat kaya selepas membuat pelaburan tunai dengan syarikat menjual kopi sehingga kerugian kira-kira RM735,000.

Semua mangsa yang terdiri daripada guru, peniaga, pekerja swasta dan kakitangan kerajaan itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, hari ini.

Wakil mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ju, 36, berkata jumlah kerugian mangsa yang membuat laporan polis hari ini antara RM10,000 sehingga RM160,000 setiap seorang.

“Syarikat ini diterajui oleh seorang lelaki yang bergelar ‘Datuk Seri’ dan sudah beroperasi sejak 2013. Setiap ahli hanya perlu mengeluarkan modal membuat pembelian produk berdasarkan pakej yang ingin disertai.

“Mereka dijanjikan menerima produk sama ada kopi atau barangan lain mengikut pilihan ahli berserta hibah tunai secara tetap setiap bulan selama 12 bulan mengikut pakej yang ditetapkan.

“Sebagai contoh jika ahli mengambil pakej RM10,000, mereka akan mendapat pulangan kira-kira RM600 setiap bulan selama setahun dan diberikan produk antaranya kopi,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di sini, lapor BH Online.

Kakitangan kerajaan itu berkata, ramai ahli menyertai skim itu bermula pada Oktober 2015 dan membuka beberapa akaun tambahan secara berperingkat kerana terpengaruh dengan helah syarikat itu yang turut menaja rancangan di stesen televisyen swasta.

“Memang mula-mula ada bayaran diterima namun selepas Julai 2016 , semua pembayaran hibah tunai yang patut diterima oleh ahli seperti yang dijanjikan tidak dibuat oleh syarikat berkenaan sehingga ke hari ini.

“Permohonan secara lisan atau bertulis sama ada melalui e-mel dan WhatsApp untuk menutup akaun kerana pelanggaran kontrak oleh syarikat ditolak tanpa alasan. Malah ada ahli yang menerima surat daripada peguam kerana melawan syarikat,” katanya yang turut kerugian RM30,000.

Sementara itu, seorang mangsa yang dikenali sebagai Noor, 40, yang mengalami kerugian RM160,000, berkata dia membuat pelaburan di syarikat berkenaan dengan hanya mengambil pakej bernilai RM10,000 pada 2015.

“Pada masa itu, saya mendapat pulangan kira-kira RM600 setiap bulan. Melihat pelaburan ini berjaya dan bayarannya cantik, saya tambah lagi RM50,000 pada Februari 2016 dan RM100,000 pada Jun 2016.

“Namun selepas penghujung 2016, saya langsung tidak menerima sebarang bayaran yang dijanjikan seperti sebelum ini. Paling saya kesal ialah semua wang yang dilaburkan diambil daripada simpanan,” katanya.

Eksekutif sebuah syarikat swasta itu berkata, beliau kesal dengan pemilik syarikat berkenaan kerana memberi pelbagai alasan untuk tidak membayar hibah tunai yang dijanjikan setiap bulan.

Justeru, beliau berharap pihak polis dapat mengambil tindakan segera terhadap pemilik syarikat berkenaan kerana sehingga kini masih bebas.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");