Perak Hari Ini

3 Anak Perak Bawa Nama Malaysia Ke Kejohanan Sedunia Muay Di Thailand

TAIPING: Seramai tiga orang atlet muda daripada Perak, bersama-sama 11 kontinjen lain akan mewakili Malaysia untuk beraksi dalam Kejohanan Sedunia Festival Muay yang akan diadakan di Pattaya, Thailand, pada 7 sehingga 18 Mac ini.

Mereka adalah, Iskandar Zulqarnain Mohd Ezry A’zamin, 15; Mohd Arrif Zahari 15 serta Iskandar Hazriq Mohd Ezry A’zamin, 12.

Jurulatih dan juga pengurus mereka, Mohd Ezry A’Zamin Abd Wahab berkata, beliau meletakan sasaran satu pingat masing-masing bagi pingat emas, perak dan gangsa untuk anak buahnya dalam acara tersebut.

Katanya, dalam temasya antarabangsa sukan tomoi ataupun muay itu ia akan disertai lebih daripada 80 buah negara.

“Di bawah Persatuan Tomoi Perak ada 10 kelab yang mana kita mempunyai 240 ahli. Namun tidak semua ahli adalah atlet. Ada yang menyertai kerana minat dan sebagainya.

“Untuk pertandingan ini, kita sasarkan 100 orang dan selepas diadakan tapisan dan pemilihan, tiga atlet tersebut kita rasakan adalah yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas acara penyerahan jalur gemilang kepada tiga atlet muay tersebut di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jering, di sini, hari ini.

Acara tersebut merupakan acara simbolik kepada mereka yang juga anak jati Taiping.

Majlis disempurnakan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering, Megat Shariffudin Ibrahim; Guru Besar SK Changkat Jering, Fareezuan Ong Abdullah serta Pegawai Pendidikan Daerah Larut Matang Dan Selama, Aminuddin Mohd Nor.

Difahamkan, Iskandar Zulqarnain dan Iskandar Hazriq Mohd Ezry A’zamin merupakan pelajar di sekolah berkenaan manakala, Mohd Arrif pula adalah pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Semanggol.

Sementara itu, Mohd Ezry berharap agar kerajaan negeri dapat memberi sokongan kepada tiga orang atlet tersebut dari segi pengiktirafan dan pembiayaan perjalanan semasa kejohanan berlangsung.

Ujarnya kesemua mereka bukan sahaja telah menempa nama di peringkat rantau ini malah turut mendapat perhatian daripada penganjur kejohanan di Eropah.

Mohd Ezry yang juga bapa kepada Iskandar Zulqarnain dan Iskandar Hazriq berkata kedua-dua anaknya itu pernah merangkul pingat emas masing-masing dalam Kejohanan Muay Boran Sedunia di Thailand pada tahun 2016 dan Kejohanan Muay Sedunia di Greece pada 2018.

“Insya-Allah pada bulan Mei nanti, Iskandar Hazriq akan ke Switzerland bagi menyertai satu pertandingan Muay peringkat antarabangsa di sana.

“Penyertaannya itu merupakan undangan khas daripada pihak penganjur. Dan ini membuktikan anak Perak sudah mendapat tempat pada pandangan pihak di negara luar,” katanya.

Beliau juga yakin, jika kerajaan negeri dapat terus menyokong usaha mereka, Perak bakal mempunyai ramai pelapis bagi sukan muay pada masa akan datang.

Dalam pada itu, mengulas tentang perjalanan ke kejohanan di Thailand, Mohd Ezry berkata kos penerbangan telah ditaja oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");