Berita Hari Ini

46 Tempat Pencemaran Baharu Di Pasir Gudang

ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 46 tempat pencemaran baharu dikesan di zon perindustrian Pasir Gudang.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata penemuan itu dibuat ketika pemantauan pencemaran sisa kimia Sungai Kim Kim dilakukan menerusi satelit.

“Kita menemui 46 lagi lokasi baharu berpotensi menjadi kawasan pencemaran di Pasir Gudang apabila mencerap seluruh kawasan berkenaan menggunakan satelit.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang melakukan siasatan lanjut tentang semua lokasi baharu berkenaan kerana data yang diperoleh setakat ini menerusi data imej satelit dan dron.

“Kita akan menghantar anggota JAS ke kawasan terbabit untuk pemantauan lanjut kerana tiada angka tepat sama ada kawasan berkenaan membabitkan kawasan pelupusan sampah domestik, mahu pun lokasi pembuangan sisa berjadual,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membentangkan laporan penuh Jawatankuasa Saintifik berhubung pencemaran Sungai Kim Kim di Bangunan Datuk Jaafar Muhammad, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal.

Pencemaran sisa beracun di Sungai Kim Kim yang berlarutan sejak 7 Mac lalu menjejaskan kira-kira 4,000 penduduk, termasuk pelajar sekolah sehingga 111 sekolah di sini, diarahkan tutup hingga Sabtu minggu depan.

Ditanya sama ada 46 lokasi baharu pencemaran itu akan turut dibersihkan, Bee Yin berkata, kerja pembersihan di bawah tanggungjawab kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Saya akan menyerahkan senarai 46 lokasi baharu pencemaran itu kepada kerajaan negeri bagi tindakan susulan, ” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian akan menubuhkan Jawatankuasa Penilai bagi zon perindustrian Pasir Gudang dan sungai tercemar di kawasan itu.

“Ia bagi mengelakkan kehidupan penduduk kawasan berkenaan terjejas lagi selepas insiden pencemaran Sungai Kim Kim.

“Kita turut bercadang mengadakan Jawatankuasa Penilai di zon perindustrian lain di seluruh negara selepas di Pasir Gudang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Bee Yin berkata pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 termasuk memasukkan hukuman lebih berat akan dibentangkan di Parlimen sebelum akhir tahun ini.

“Kita akan membuat konsultasi bersama dengan pihak berkepentingan bagi membolehkan beberapa pindaan dibuat, termasuk menambah hukuman lebih berat kerana kesalahan alam sekitar serius yang menjejaskan nyawa penduduk perlu kepada hukuman lebih tegas,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");