Berita Hari Ini

A Samad Said Dilantik Sasterawan UniSZA

KUALA NERUS: Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said, bakal dilantik Sasterawan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, berkata pihaknya sudah menyampaikan hasrat universiti berkenaan untuk memberi penghormatan kepada sasterawan itu, yang dikenali sebagai Pak Samad, untuk dilantik di bawah program penempatan Sasterawan Negara.

Langkah itu juga katanya sebagai menyahut saranan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, yang mahu universiti awam menempatkan Sasterawan Negara di institusi masing-masing bagi menghargai sumbangan golongan itu kepada negara.

“Saya sendiri menyampaikan hasrat UniSZA untuk menempatkan Sasterawan Negara terulung itu di UniSZA dalam satu pertemuan semalam dan pada asasnya beliau menzahirkan persetujuan dengan tawaran kami.

“UniSZA percaya langkah ini akan memberi sumbangan yang besar bagi berkongsi ilmu dan menyebar luas karya-karya beliau kepada pelajar dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BH Online.

UniSZA akan menyerahkan surat rasmi kepada Pak Samad pada 9 Mac depan apabila beliau menghadiri satu program khas di universiti terbabit.

Mengulas lanjut, Hassan Basri berkata UniSZA percaya golongan Sasterawan Negara wajar diberi kedudukan yang tinggi sebagai tanda menghargai sumbangan mereka dalam memartabatkan sastera negara.

“Sasterawan Negara ada sumber ilmu dan saya yakin kehadiran beliau di bawah program penempatan akan membantu kami dalam usaha terus memartabatkan bidang sastera negara.

“UniSZA juga akan mengadakan Galeri Pak Samad yang akan memuatkan semua karya dan dokumentasi beliau, termasuk karya beliau yang dijadikan drama atau filem.

“Pak Samad juga menyatakan persetujuannya untuk memberikan kepada Galeri UniSZA bahan-bahan dan hasil tulisan berharga beliau untuk disimpan di galeri bagi tatapan generasi pelajar dan generasi muda khususnya untuk mendidik mereka menyanjungi karya dan hasil ilmiah Sasterawan Negara,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");