Sukan Hari Ini

Adly Kecewa, Mahu Laporan Prestasi MU

MELAKA: Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Adly Zahari nyata terkejut dengan keputusan aksi Liga Super, malam tadi yang menyaksikan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan tewas 0-3 di tangan Terengganu FC (TFC).

Seolah-olah tidak boleh menerima kenyataan, Adly yang juga Ketua Menteri Melaka tidak mampu menyembunyikan kekecewaannya apabila Melaka United (MU) tidak mampu menambah mata pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu.

“Kita akan tengok kenapa jadi begini. Apa agaknya isu paling utama mendorong kepada persembahan begitu kerana pada penilaian kita (peringkat awal) tidak begitu.

“Walaupun kita tahu TFC adalah antara pesaing utama, sepatutnya kita mengekalkan rentak persembahan agak setara seperti sebelum ini.

“Saya akan mendapatkan laporan prestasi daripada Zainal dan menilai semula apa yang berlaku supaya ia tidak berulang pada perlawanan akan datang,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program 10,000 Langkah Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, di Padang Jambu, di sini, hari ini.

Adly berkata, perubahan taktikal yang mungkin ditetapkan pada saat akhir mungkin menjadi antara punca kekalahan pasukan.

“Mungkin ada beberapa taktikal baharu dibuat dan menjerat kita, antaranya kita tidak menurunkan pemain import dan beberapa perubahan awal dilakukan pada separuh masa pertama juga dikatakan menjadi punca kekalahan.

“Apa pun saya mahu laporan lengkap daripada ketua jurulatih dan kita sudah pasti akan melakukan bedah siasat secara teliti terhadap prestasi buruk pemain kita malam tadi,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");