Panasnya Hari Ini

Anggota Parlimen Kangar Buat Laporan Polis Terhadap Lokman Adam

KANGAR – Anggota Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad membuat laporan polis terhadap Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam yang didakwa memfitnahnya berhubung kes anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Memetik laporan Bernama, Noor Amin berkata Lokman melalui laman Facebooknya semalam memfitnahnya konon beliau mengugut seorang jururawat yang bertugas di Institut Jantung Negara (IJN) dikenali sebagai Cik Miera, yang mendedahkan keadaan sebenar Muhammad Adib.

Individu yang dikenali sebagai Miera itu mendakwa anggota bomba itu sebenarnya dipukul, sekali gus menafikan keterangan pakar forensik dalam inkues yang menyatakan kecederaan dialaminya tidak menunjukkan seperti arwah dipukul.

“Saya minta gadis itu memberi keterangan dan tidak menyembunyikan kebenaran jika kenyataannya itu benar,” katanya kepada media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar pada Ahad.

Noor Amin, yang juga Ketua Cabang PKR Kangar, berkata beliau menghantar mesej kepada Miera memintanya tampil menjadi saksi pada inkues Muhamad Adib selepas gadis itu mengeluarkan kenyataan di laman sosial bahawa anggota bomba itu telah dipukul.

Beliau berkata tuduhan Lokman kononnya beliau mengugut jururawat itu boleh memberi ancaman kepadanya dan beliau telah meminta polis menjalankan siasatan terhadap fitnah Lokman.

Noor Amin juga tidak menolak kemungkinan mengemukakan saman terhadap Lokman yang disifatkan tidak bertanggungjawab itu.

“Saya tak gertak atau ugut gadis itu dan tuduhan Lokman itu boleh memberi implikasi besar dan mengganggu proses siasatan kes berkenaan,” katanya.

Noor Amin turut meminta individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya tampil membantu siasatan.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu dan menghembuskan nafas akhir pada 17 Dis lalu di Institut Jantung Negara.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");