Sukan Hari Ini

Azizulhasni Terkilan Gagal Ulangi Kejayaan Di Poland

KUALA LUMPUR: Hasrat pelumba berbasikal trek negara Azizulhasni Awang mengulangi sejarah 10 tahun lepas di bumi Poland, tidak kesampaian apabila terkandas di pusingan kelayakan acara pecut di Kejohanan Dunia kali ini.

Azizulhasni yang nyata terkilan kerana gagal berbuat demikian, sekadar menduduki tangga ke-30 daripada 34 pelumba keseluruhan selepas mencatat masa 10.022 saat.

Katanya, kondisi badan yang kurang baik ekoran terlibat dalam kemalangan ketika acara keirin semalam, menjejaskan kayuhan beliau.

“Sejujurnya memang terkilan, tetapi setakat itu sahaja yang mampu saya berikan dengan keadaan kondisi badan, selepas terlibat di dalam kemalangan semalam.

“Seperti biasa, selepas tamat kejohanan besar saya dan pasukan, akan duduk semeja melakukan post-mortem dan memperbaiki mana-mana ruang yang perlu, dan merencana perancangan untuk musim hadapan,” katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook awal pagi ini, lapor Bernama.

Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan The Pocketrocket Man itu turut menyatakan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong beliau dan pelumba negara yang lain.

“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia khususnya yang sentiasa menyokong dan mendoakan saya dan pasukan.

“Kalah sekali bukan bermaksud kalah selamanya, yang penting kita terus mencuba dan bangkit dari kekalahan ini. Insyaallah,” katanya.

Selain Azizulhasni, turut serta dalam acara pecut individu lelaki Mohd Shah Firdaus Sahrom menduduki tempat ke-31 dengan masa 10.090s manakala Muhammad Firdaus Mohd Zonis di tangga ke-34 dengan 10.242s.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");