Berita Hari Ini

Cuaca Panas: Sekolah Jangan Kerap Anjur Program Luar – Maszlee

CYBERJAYA: Semua sekolah disaran tidak kerap menganjurkan program luar susulan cuaca panas dan kering berpanjangan melanda negara kini.

Memetik laporan Astro Awani, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek berkata, ia termasuk pesanan kepada ibu bapa untuk menasihati anak masing-masing minum air yang banyak di sekolah.

“Kita juga ingin menyeru kepada sekolah-sekolah supaya tidak menganjurkan program luar yang kerap, kecuali kalau mendung tidak apalah, kalau panas kita tidak galakkan sekolah adakan aktiviti.

“Kita galakkan ibu bapa supaya berpesan kepada anak-anak mereka untuk menjaga kesihatan, banyakkan minum air dan kurang kepada aktiviti luar,” katanya semasa sidang media selepas melancarkan Kelab UNESCO dan Model United Nations (MUN) di sini, pada Jumaat.

Kementeriannya dalam satu kenyataan sebelum ini menjelaskan, sentiasa menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid khususnya di beberapa negeri di utara dan Pantai Timur serta beberapa daerah di Melaka.

Fenomena cuaca panas sebegini bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi juga di beberapa negara lain, contohnya United Kingdom (UK).

Kebiasaannya, Februari merupakan musim sejuk, namun menurut Jabatan Meteorologi UK (Met Office), suhu negara itu mencecah 20.6 darjah celsius dan menjadikannya hari paling panas dalam sejarah semasa musim sejuk.

Met Office juga mengaitkan fenomena ini dengan perubahan iklim.

Sementara itu, di Malaysia, orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati ketika melakukan aktiviti luar, tidak melakukan pembakaran terbuka, kurang memakai pakaian gelap dan minum air secukupnya berikutan cuaca panas yang dijangka berakhir penghujung Mac ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");