Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, kedua-dua suspek berusia 23 dan 30 tahun itu menaiki kenderaan lasak pacuan empat roda ditahan sepasukan anggota Unit Peronda Polis (MPV) dan Balai Polis Segari selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek mengaku menyamar sebagai anggota polis dan pegawai Jabatan Imigresen untuk memeras ugut pekerja asing warga Indonesia sejak akhir tahun lalu.

“Kita dapati dua suspek dipercayai terlibat dengan 19 kes termasuk 15 di daerah Seri Manjung, Kuala Kangsar (2) dan satu kes masing-masing di Kerian dan Taiping menggunakan modus operandi yang sama.

“Mereka berdua menyasarkan rumah kongsi dan rumah sewa pekerja kebun sawit warga Indonesia dengan menyamar sebagai pegawai penguat kuasa sebelum menyamun rumah berkenaan ketika pekerja itu melarikan diri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah Muhammad Hanif, mereka berdua yang bekerja kilang dan pembantu kedai runcit kemudiannya akan menggeledah rumah itu serta mengambil barangan berharga.

“Polis merampas kenderaan jenis Mitsubishi Pajero, dua telefon bimbit, dompet (5), kad sim (2), wang tunai berjumlah RM1,020, beg pinggang dan beg silang daripada suspek.

“Jumlah kerugian bagi semua kes yang dilakukan suspek dianggarkan antara RM8,000 hingga RM9,000,” katanya.

Katanya, semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai satu rekod kesalahan lampau melibatkan jenayah pemerasan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 170 dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana menyamar penjawat awam dan memeras ugut,” katanya. – K! ONLINE