Membawang Hari Ini

‘Dulu Pun Radio Tak Main Lagu Saya…’

KUALA LUMPUR: Penyanyi Maya Matahari positif sekiranya nanti lagu nyanyiannya mungkin tidak diputarkan stesen radio lain apabila memilih bertugas sebagai penyampai Best FM.

Penyanyi lagu Diari Biru itu berkata, dia tidak gusar kerana banyak pilihan platform digital yang dapat dimanfaatkan untuk mempromosikan kerja seninya.

“Ada yang bertanya mengenai perkara itu apabila saya memilih untuk bersama Best FM. Bagi saya, sama saja. Sebelum ini pun, lagu saya tidak dimainkan stesen radio.

“Tidak mengapa kerana saya percaya rezeki di dunia ini luas. Lagipun, sekarang banyak platform lain boleh digunakan untuk mempromosikan karya seperti YouTube.

“Apa yang penting, peminat tahu saya masih aktif dan saya muncul bukan untuk bersaing dengan sesiapa,” katanya.

Maya yang bertugas di stesen radio yang berpusat di Johor Bahru sejak 11 Februari lalu menegaskan, dia menerima tawaran itu bukan disebabkan perjalanan kerjaya nyanyiannya semakin suram.

Dia sebaliknya, melihat peluang itu sebagai ruang untuk memantapkan lagi kerjaya nyanyiannya.

“Saya tidak rasa kerjaya baharu ini membuatkan peminat lupa yang saya bermula sebagai penyanyi. Tambahan pula, stesen ini memberi saya peluang melontarkan idea untuk menguatkan lagi segmen yang dikendalikan.

“Menerusi segmen Jamming Best contohnya, saya akan menyanyikan lagu terbaru yang sedang mendapat sambutan atau menghiburkan pendengar bersama artis jemputan.

“Sedikit sebanyak segmen itu menjadi ruang untuk saya mempromosikan diri sebagai penyanyi, malah menerusinya juga saya menerima tawaran undangan persembahan,” katanya.

Maya atau Meyanaliza Ruslee, 42, berkata, dia menerima tawaran menyertai stesen itu pada Disember lalu. Selepas berfikir panjang, baru dia memutuskan untuk mencuba bakat sebagai penyampai radio.

“Sebelum ini, pada 2012, saya pernah bersama KL FM. Dengan pengalaman yang ada, saya beranikan diri untuk menerima tawaran itu. Alhamdulillah, saya semakin selesa selepas tiga minggu menyertai segmen pagi bergandingan dengan Zairi,” katanya.

Walaupun kini fokusnya lebih kepada bidang penyiaran, Maya berkata, tanggungjawab baharu itu tidak pernah mengganggu perjalanan kerjaya nyanyiannya.

“Lagipun, masa bekerja saya tidak lama, bermula dari jam 6 hingga 10 pagi. Selepas itu, saya sudah boleh buat urusan lain.

“Saya juga tidak mempunyai sebarang masalah jika ada kerja di Kuala Lumpur. Untuk berulang-alik dari Johor Bahru dan Kuala Lumpur juga bukan masalah besar. Setakat ini, rutin harian masih berjalan dengan baik,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");