Panasnya Hari Ini

Ibrahim Ali Tuntut RoS Lulus Pendaftaran Putra

KUALA LUMPUR – Presiden Perkasa, Datuk Dr Ibrahim Ali hari ini memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) yang tidak menjawab permohonan pendaftaran Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Menurut Bernama, Ibrahim, yang merupakan Presiden Penaja Putra selaku pemohon, memfailkan permohonan itu melalui sistem e-filing di Mahkamah Tinggi di sini menerusi peguamnya Mohd Khairul Azam Abdul Aziz dengan menamakan Ketua Pengarah RoS dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.

Ibrahim, bekas Anggota Parlimen Pasir Mas, mengemukakan permohonan kebenaran itu menurut Aturan 53 Kaedah 3(1) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Dalam permohonan itu, Ibrahim memohon perintah mandamus supaya responden meluluskan permohonan pendaftaran parti tersebut yang telah dikemukakan pada Ogos 2018.

Beliau juga memohon deklarasi bahawa tindakan responden tidak menjawab permohonannya untuk menubuhkan parti berkenaan adalah tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan hak pemohon untuk menubuhkan persatuan seperti terkandung dalam Perkara 10(1) (c) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam permohonan itu, Ibrahim berkata satu mesyuarat telah diadakan pada 4 Ogos tahun lepas dan dalam mesyuarat itu juga draf Perlembagaan Putra diluluskan untuk dihantar kepada kedua-dua responden.

Katanya, permohonan untuk penubuhan Putra telah dihantar dalam talian pada 13 Ogos tahun lepas dan dokumen berhubung penubuhan Putra juga dihantar kepada responden pada 16 Ogos tahun sama selain perjumpaan turut diadakan dengan pegawai responden untuk mendapatkan penjelasan tentang Prosedur Operasi Standard (SOP) proses kelulusan itu.

Bagaimanapun, Ibrahim berkata, pihaknya tidak menerima apa-apa maklum balas berhubung status permohonannya selain mendakwa wujud ketidakpatuhan dalam SOP yang dikendalikan oleh responden.

Sementara itu, Ibrahim ketika ditemui pemberita berkata, beliau kesal dengan tindakan RoS yang tidak menjawab permohonannya sehingga kini selepas notis penubuhan Putra dihantar kepada mereka.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");