Panasnya Hari Ini

Izzah: Tahun Pertama Sangat Penting Buat PH

Bekas Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyifatkan tahun pertama adalah sangat penting kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memperlihatkan iltizam politik bagi menjayakan perubahan.

Beliau berkata, dalam mana-mana peralihan kuasa bagi sesebuah kerajaan, tahun pertama adalah tempoh yang sangat penting.

“Kita mesti juga faham tahun pertama dalam mana-mana peralihan kuasa adalah tahun yang sangat penting.

“Tahun tersebutlah dapat memperlihatkan iltizam politik supaya perubahan dapat berlaku,” katanya ketika ditemui selepas majis pelancaran buku “Anwar Ibrahim semangat darah muda” terbitan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Majlis pelancaran buku terbabit berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena pesta buku antarabangsa Kuala Lumpur 2019.

Nurul Izzah sebelum itu ditanya mengenai aspirasi ataupun agenda reformasi Anwar dalam era Malaysia baru kerajaan PH.

“Agenda reformasi itu dimasukkan dalam manifesto PH, sudah tentu yang kita mahukan adalah pelaksanaannya tuntas,” jelasnya.

Tambah Izzah lagi, perubahan di mana-mana negara dicetuskan pelbagai pihak dan dalam situasi Malaysia beliau pasti sebahagiannya dicetuskan oleh Anwar, pembangkang dan juga rakyat yang merasai tekanan ekonomi.

Nurul Izzah yang terkenal dengan jolokan “puteri reformasi” itu mencetuskan kontroversi sebelum ini apabila menyifatkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai bekas diktator dan mengakui sukar bekerja dengannya ketika diwawancara akhbar Singapura, The Straits Times.

Anggota Parlimen Permatang Pauh itu mempertahankan kenyataannya selain hairan mengapa ia menjadi isu sedangkan perkara itu pernah diungkapnya sebelum PH menjadi kerajaan lagi.

Beliau juga melepaskan jawatan sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) selepas Ronald Kiandee menyertai Bersatu dan enggan melepaskan jawatan selaku pengerusi PAC.

Kumpul maklumat untuk reformasi penjara

Dalam pada itu, beliau juga menyebut soal reformasi sistem penjara dan lokap yang antara lain bagi memberi peluang kedua kepada banduan tidak ganas untuk membina semula kehidupan.

Beliau sebelum ini pernah membangkitkan perkara itu dan hasratnya untuk membawanya ke sidang Parlimen.

Nurul Izzah berkata beliau sedang mengumpul maklumat daripada jabatan penjara sebelum mengemukakan cadangan.

“Jabatan penjara sedang bertungkus-lumus dengan sasaran 75 peratus banduan tidak ganas dapat diserap dalam pemulihan masyarakat melalui program interaktif menjelang 2030.

“(Program) lebih efektif agar (banduan) dapat diserap dalam masyarakat serta diberi peluang kedua sejajar dengan kesediaan mereka untuk berubah,” katanya, yang berkata hampir 80 peratus banduan daripada keluarga berpendapatan rendah.

Katanya, aspek itu harus diberi perhatian kerana kemiskinan memang antara punca seseorang terperangkap dengan jenayah.

Selain itu beliau juga membangkitkan soal kemudahan penjara dan lokap di negara ini yang menurutnya sudah ketinggalan.

“Kalau hendak selesaikan perkara ini ia perlu dilihat secara kolektif dan realistik.” katanya sambil menambah setiap cadangan itu akhirnya ditentukan Kementerian Dalam Negeri.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");