Perak Hari Ini

Jangan Gemar Sebar Khabar Angin Dalam Media Sosial – MB Perak

IPOH: Pengguna media sosial dinasihatkan agar menggunakan daya kreatif masing-masing ke arah kebaikan dan tidak menyebarkan khabar angin.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata menyebarkan perkara yang tidak sahih dalam media sosial mungkin dilihat sesuatu perkara yang menyeronokkan namun sebaliknya ia sesuatu yang merugikan.

“Saya fikirkan kita semua jangan gemar menularkan khabar-khabar angin. Ia merupakan sesuatu yang tidak sihat.

“Ada ‘tangan-tangan nakal’ yang kreatif gemar menyebarkan khabar angin. Saya fikir lebih baik gunakan daya kreatif mereka itu untuk perkara-perkara yang membangun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan posting di laman Facebook yang tular sejak semalam dengan mendakwa kononnya akan berlangsung istiadat angkat sumpah Menteri Besar oleh Barisan Nasional (BN) di Kuala Kangsar, petang ini.

Posting itu turut menyebut kononnya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad akan mengangkat sumpah jawatan tersebut selain mendakwa akan diadakan majlis tahlil serta doa selamat di kediaman Menteri Besar malam ini.

Ketika diminta mengulas tentang posting tersebut, Ahmad Faizal menafikan ia dengan menyebut beliau tidak menerima sebarang maklumat mahupun jemputan rasmi ke Istana Iskandariah.

“Setakat ni belum pula ada sebarang jemputan. Jika ada acara petang ini, paling lewat pada tengah hari saya akan mendapat jemputanlah.

“Namun, setakat ini, tidak ada,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak itu ringkas.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Kejohanan Olahraga SMK Anderson kali ke-101 di SMK Anderson, di sini, hari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");