Perak Hari Ini

Jangan Panik Jika Sudah Terambil Ubat Darah Tinggi Yang Ditarik Balik – Lee

IPOH: Orang ramai dinasihatkan agar tidak panik sekiranya mendapati sudah mengambil produk ubat-ubatan untuk rawatan darah tinggi yang dilaporkan telah digantung pendaftarannya bermula 7 Mac 2019.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata mereka dinasihatkan segera menghentikan pengambilan ubat tersebut dan menyerahkan kepada pihak pembekal sebagai gantian ubat yang sama, tetapi daripada jenama yang lain.

Katanya ubat seumpama itu mempunyai jenama yang banyak namun hanya terdapat beberapa jenama sahaja yang dikesan telah tercemar dengan bahan yang berbahaya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tindakan menarik balik kesemua ubat tersebut dibuat selepas Pihak Berkuasa Sains Kesihatan Singapura (HSA) mengeluarkan notis panggil balik ke atas tiga produk yang mengandungi losartan, daripada sumber bahan aktif dikeluarkan syarikat Hetero Labs Limited, India kerana kehadiran impuriti N-nitroso-Nmethyl-4-aminobutyric acid (NMBA).

Kata Boon Chye walaupun kesan dalam jangka masa panjang akibat daripada pengambilan produk yang mengandungi bahan tersebut adalah karsinogenik atau penyebab kanser namun, ia tidak mempunyai kesan sampingan dalam jangka masa pendek.

“Sekiranya ada yang masih menyimpan ubat tersebut, harus segara berhenti dan pulangkan kepada pembekal serta tidak panik.

“Sebenarnya Kementerian Kesihatan telah pun menarik ubat tersebut sebelum ini. Berdasarkan rekod, sepatutnya ubat sedemikian tidak ada lagi di pasaran¬ kecuali ada pihak yang masih menyimpan daripada stok lama,” katanya.

Dalam pada itu ujarnya pihak kementerian sentiasa melakukan pemeriksaan dan pemantauan secara rawak khususnya kepada ubat-ubatan yang dipasarkan dalam negara.

Jelasnya lagi, Kementerian Kesihatan juga ada bekerjasama dengan agensi kesihatan di luar negara bagi berkongsi sebarang maklumat berkenaan isu sama.

“Kita sentiasa berkongsi maklumat dan sekiranya ada sebarang ubat yang didapati mempunyai masalah, kita akan ambil tindakan yang setimpal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia peringkat negeri bersempena dengan Karnival Usahawan Perak Ghiyoh 2019 di Hotel Casuarina Meru Raya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Program, Zulkifly Ibrahim serta Koordinator Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Kawasan Utara, Nor Rena binti Azharuddin.

Pada perkembangan sama, Boon Chye berkata kerajaan membelanjakan sekitar RM1.6 billion bagi rawatan dialisis kepada sekurang-kurangnya 39,000 pesakit yang menghidapi masalah penyakit buah pinggang dalam negara.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bilangan pesakit tersebut akan meningkat pada masa akan datang.

Justeru beliau menyeru mana-mana individu yang dapat mengesan penyakit tersebut pada peringkat awal agar segera mendapatkan rawatan yang sesuai selain menjalani gaya hidup yang sihat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");