Panasnya Hari Ini

‘Jangan Sampai Kami Solat Hajat Anda Tak Sampai Ke Kerusi Diimpikan’

Serangan PAS terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim diteruskan hari ini apabila Ketua Dewan Ulama PAS Pahang Mokhtar Senik memberi amaran untuk menganjurkan sembahyang hajat.

Tujuannya – untuk mendoakan agar Anwar “tak sampai ke kerusi yang diimpikan”. Dia merujuk jawatan perdana menteri menggantikan Dr Mahathir Mohamad.

Mokhtar mengulas dakwaan Anwar bahawa mempunyai bukti PAS membayar RM1.4 juta kepada Editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown bagi menyelesaikan saman fitnah presidennya Abdul Hadi Awang.

“Kalau beruk tahu membaca nescaya beruk akan tergelak sakan membaca kenyataan ini. Dah kamu yang tuduh dan ada bukti, maka kamulah dahulu yang kemukakan bukti.

“Lepas itu baru PAS akan saman atas tuduhan itu. Ini tidak, asal tuduh PAS yang kena saman (dulu).

“Apa pun kami baru solat hajat untuk gagalkan Icerd, dan agar diselamatkan dari pencaci Nabi. Jangan sampai kami buat solat hajat agar kamu tak sampai ke kerusi yang diimpikan,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Bersama kenyataan itu dilampirkan gambar Anwar bersama kenyataan yang didakwa dibuatnya:

“Ustaz Hadi terpaksa bayar RM1.4 juta kepada Clare, kenapa harus terus berbohong? Saya ada bukti tranksasi bank, jika PAS masih ada keberanian, samanlah saya.”

Anwar menyentuh soal itu dalam ceramahnya di Semenyih semalam. Kenyataan itu sedikit berbeza dengan ucapan Anwar, seperti yang dirakam KiniTV.

Perang mulut pemimpin PAS dan Anwar semakin rancak apabila parti itu – ketika mengisytiharkan sokongan terhadap perdana menteri – mendakwa ada pihak dalam Pakatan Harapan (PH) yang ingin memulakan undi tidak percaya kepada Mahathir.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menafikan dakwaan itu dan meminta PAS mengemukakan bukti.

Bagaimanapun Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata tiada sebab untuk parti itu berbuat demikian kerana Lim boleh meminta penjelasan Mahathir sendiri.

Pada 23 Februari lalu, Khalil menamakan Anwar selaku dalang terhadap usaha itu. Dakwaan itu dinafikan Anwar.

Bagaimanapun Mokhtar menyatakan kehairanannya terhadap Anwar yang menurutnya “mengamuk terhadap jiran yang tidak pernah menyentuhnya”.

“Janganlah kerana perbalahan dalam keluarga tiba-tiba (Anwar) mengamuk kepada jiran pula. Jiran itu pula tak pernah sentuh kamu.

“Kami tahu kamu tertekan. Tempoh dijanjikan kerusi PM sudah dekat tetapi tandanya belum nampak… Pimpinan parti kamu sendiri cuba halang kamu ke kerusi itu,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");