Perak Hari Ini

Jawatankuasa Audit PCB Hanya Buat Kenyataan Berdasarkan Laporan Dalaman – Zhemin

IPOH: Jawatankuasa Audit Perak Corporation Berhad (PCB) berpendapat tidak timbul sebarang isu berkenaan badan tersebut mengeluarkan kenyataan tanpa menunggu keputusan rasmi oleh firma audit bebas, PriceWaterhouseCoopers (PwC).

Pengerusinya Chong Zhemin berkata, PwC hanya terlibat dengan audit forensik luaran manakala jawatankuasanya terlibat dengan audit di peringkat dalaman PCB.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dalam satu laporan media baru-baru ini berkata tindakan Zhemin itu disifatkan sebagai sesuatu yang berniat jahat kerana tidak menunggu keputusan rasmi PwC sebelum membuat sebarang kenyataan.

Kata Zhemin ia menjadi satu tanggungjawab pihaknya untuk mengeluarkan kenyataan berkaitan kepincangan berhubung peningkatan pembinaan kos Taman Tema Movie Animation Park Studios (MAPS) kerana ia melibatkan dana awam.

“Apa yang saya nyatakan ini ialah berdasarkan laporan audit dalaman sahaja. Sebagai pengerusi audit ini, saya mempunyai maklumat secara hitam putih berhubung isu ini. Pemegang saham dan orang ramai berhak tahu.

“Kita tidak boleh simpulkan semuanya berdasarkan laporan audit dalam sahaja namun, banyak perjanjian dan transaksi yang boleh dipersoalkan yang mana Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir masih lagi belum menjawab,” katanya.

Tambahnya, kertas laporan audit dalaman telah pun diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Perak selain ia turut dimuat naik ke laman sesawang Bursa Malaysia yang boleh diakses semua pihak.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Keranji turut mengesahkan telah menyerahkan laporan tersebut kepada PwC untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu Zhemin menafikan dakwaan yang mengatakan isu tersebut sengaja dibangkitkan bagi tujuan serangan politik kepada Bekas Menteri Besar Perak yang lalu.

Jelasnya, pemerintahan sebelum ini membuat satu dasar yang mana keputusan dibuat secara berpusat yang disandarkan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang mana Zambry, pada ketika itu merupakan pengerusi badan induk tersebut.

Sekali lagi tegasnya Zambry perlu bertanggungjawab terhadap peningkatan kos pembinaan MAPS yang mencecah RM217 juta.

“Pengurusan lama membuat sebarang keputusan berpusat di peringkat PKNP. Selain ahli lembaga pengarah yang lain, Zambry amat bertanggungjawab dalam isu ini.

“Zambry perlu menjawab semua persoalan ini. Pada pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 16 April nanti, saya akan serahkan 23 kenyataan media saya kepada beliau.

“Ia mengandungi semua soalan yang saya mahu beliau jawab,” katanya dalam satu sidang media di Hotel Casuarina Meru Raya, di sini, hari ini.

Ia turut dihadiri Ketua Audit Dalaman PCB, Annas Asqalanee Ab Ghafar serta Ketua Pegawai Eksekutif PCB merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MAPS, Shafeii Abdul Gaffor.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");