Berita Hari Ini

Jual MC Guna Whatsapp

DUA warga tempatan yang dipercayai dalang menjual sijil cuti sakit palsu, ditahan di kediaman di kawasan di Bandar Tenggara, di Kota Tinggi, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, dua individu terbabit iaitu seorang lelaki berusia 29 tahun dan wanita berusia 21 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi pada 3 petang.

Katanya, hasil risikan dan siasatan pasukan itu selama seminggu, membawa kepada tangkapan kedua-dua suspek yang dipercayai bergiat aktif sejak tahun lalu.

“Mereka bergiat aktif menjual sijil cuti sakit di sekitar Kota Tinggi, Kulai dan Johor Bahru.

“Suspek menawarkan khidmat penjualan sijil cuti sakit palsu menerusi aplikasi WhatsApp kepada pekerja swasta dan kerajaan.

“Setiap sijil berkenaan dijual dengan harga RM30 hingga RM45 sekeping bergantung kepada butiran hari cuti di dalam sijil sakit, selain sejumlah 90 keping sijil cuti sakit palsu sudah dijual sejak awal tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahsmon berkata, hasil serbuan membawa kepada rampasan dua unit cop tangan atas nama doktor dan klinik kesihatan kerajaan, 26 helaian sijil cuti sakit palsu dan dua telefon bimbit.

“Sejumlah sembilan kes sijil cuti sakit palsu yang diterima sejak tahun lalu di daerah Kota Tinggi sudah dapat diselesaikan ekoran tangkapan kedua-dua suspek ini.

“Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun, dengan sebat, dan boleh dikenakan denda.

“Orang ramai terutamanya pekerja jabatan kerajaan ataupun swasta dinasihatkan supaya tidak mengambil langkah mudah bagi mendapatkan pelepasan kerja dengan membeli sijil cuti sakit palsu.

“Sekiranya terbabit, selain dari tindakan tatatertib sehingga hukuman buang kerja, pesalah juga boleh dituduh di mahkamah,” katanya.-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");