Perak Hari Ini

Karnival Kebudayaan Tamil Terbesar Di Malaysia Bakal Diadakan Di Ipoh

IPOH- Persatuan Kesenian Sebastiar Perak bersama Persatuan Peniaga-Peniaga Little India Ipoh bakal mengadakan Karnival Kebudayaan Tamil secara besar-besaran di Ipoh Little India pada 23 Mac ini.

Program dengan kerjasama Pusat Perkhidmatan Masyarakat Ipoh Barat ini bukan sahaja terbuka kepada masyarakat India tetapi juga turut mengalu-alukan kaum-kaum lain di Malaysia.

Pengarah dan Pengasas Persatuan Kesenian Sebastiar Perak, A. Iruthiyam Sebastiar  berkata antara program menarik yang bakal dijalankan adalah pertunjukan kebudayaan masyarakat India selain akan mempromosikan bakat dikalangan kanak-kanak. 

Selain itu juga, jelas beliau, karnival berkenaan bakal menampilkan aktiviti kebudayaan India yang unik dan berbeza dari apa yang selalu dipersembahkan di majlis-majlis kaum berkenaan. 

“Kita akan menampilkan pelbagai aktiviti kebudayaan yang istimewa dan unik seperti tarian rakyat serta bakat-bakat komedi tempatan rakyat Malaysia oleh masyarakat Tamil.

Katanya lagi, acara mega seumpama ini adalah yang pertama kali bakal dilaksanakan di Malaysia yang turut mendapat sambutan dari Kementerian Sumber Manusia serta diberi harapan penuh oleh menterinya, M. Kula Segaran.

Dianggarkan laluan sepanjang di Little India, Ipoh akan ditutup bermula dari jam 9 malam pada 23 Mac sehingga tengah malam pada 24 Mac bagi memberi laluan pelaksanaan karnival ini yang akan bermula pada jam 4 pertang sehingga 10 malam pada hari yang sama.

Dalam pada itu, terdapat juga pertandingan permainan tradisional Tamil yang akan dipertandingkan antara 24 buah sekolah di sekitar Ipoh melalui dua kategori iaitu kategori pertama terdiri daripada pelajar berumur 8 hingga 12 tahun dan yang kedua 12 hingga 16 tahun untuk memberi pengajaran kepada para pelajar mengenai kebudayaan masyarakat Tamil yang kian pudar dalam kalangan masyarakat.

Tambahan pula, pertandingan membuat kolam iaitu salah satu seni menggunakan beras oleh masyarakat Tamil turut dipertandingan kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negeri Perak.

Tambahan lagi, antara yang menarik adalah acara menaiki kereta lembu yang akan membawa kanak-kanak melalui jalan di Little India secara percuma serta terbuka kepada orang awam semasa karnival tersebut dijalankan.

Pengunjung juga akan menikmati potongan istimewa dari hampir ke semua kedai kecuali kedai emas semasa karnival berlangsung.

Sasaran pengunjung yang akan hadir semasa karnival tersebut adalah seramai 5,000 orang dimana turut sama dimeriahkan dengan satu jemputan khas iaitu seorang pengarah filem dan penyelaras muzik dari India, Veera Shankar Bairisetty yang turut sama membuat persembahan semasa karnival tersebut.

Dalam pada itu, makanan tradisional masyarakat India iaitu tosai dan capati turut dibekalkan disamping adanya penyediaan kemudahan-kemudahan yang lain bagi keselesaan pengunjung.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");