Berita Hari Ini

Keganasan Tidak Wajar Dikaitkan Dengan Permainan Dalam Talian – Syed Saddiq

SEPANG: Permainan dalam talian, termasuk PlayerUnknown’s Battleground (PUBG), tidak wajar dikaitkan dengan keganasan seperti serangan berdarah tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, kelmarin.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata keganasan dilakukan oleh pihak yang terpengaruh dengan fahaman ekstremisme.

“Percayalah, ada atau tiada ‘games’ (permainan berunsur penembakan secara dalam talian) tetapi kalau orang (suspek) sudah ada fahaman ekstremisme, mereka akan melakukan keganasan itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Festival Asia GT di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini, hari ini.

Justeru, beliau berkata, usah cepat menyalahkan permainan dalam talian berkenaan, manakala mangsa insiden terbabit harus diberi penghormatan.

“Adakah ia bermaksud kita kena haramkan semua permainan itu kerana ia berkait rapat dengan unsur penembakan? Saya rasa ia (insiden di Christchurch) lebih besar daripada itu.

“Sebelum ini, tiada PUBG tetapi keganasan tetap berlaku. Justeru, kita jangan cepat menyalahkan satu sebab,” katanya.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, beliau berpendapat keganasan harus dikecam rakyat seluruh dunia kerana bercanggah dengan prinsip kemanusiaan yang dipegang semua masyarakat.

Isu berhubung permainan PUBG menarik perhatian netizen apabila segelintir pihak mendakwa ia mirip serangan bersenjata di dua masjid di Christchurch, kelmarin.

Beberapa hari lalu, Gujarat menjadi satu-satunya negeri di India yang mengharamkan permainan PUBG selepas ia mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa kerana dilihat lebih banyak mendatangkan pengaruh buruk, termasuk unsur ganas lapor BHarian.

Menurut AFP, permainan itu dimuat naik lebih 100 juta pengguna di seluruh dunia.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");