Panasnya Hari Ini

Kekalahan Di DUN Semenyih Dijadikan Iktibar – Mukhriz

KOTA BHARU: Pakatan Harapan (PH) mengambil iktibar kekalahan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, selain memperhalusi mesej rakyat.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata pihaknya menerima keputusan itu dan akan meneliti kehendak rakyat.

“Justeru, kami akan mengambil iktibar daripada keputusan itu untuk membuat lebih baik dan agaknya banyak perkara yang kami perlu perhatikan dengan lebih teliti apa yang menyebabkan rakyat kurang yakin dengan PH.

“Jika ada salah silap, kami mohon maaf dan pada masa sama mesej yang disampaikan rakyat akan diperhalusi untuk tujuan menambah baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Kelantan sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, di Istana Balai Besar, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), berkata banyak faktor yang menyumbang kepada kekalahan termasuk isu nasional.

“Saya fikir banyak faktor dan tidak boleh kata soal calon saja sebab pada hemat kami, sudah memilih yang terbaik namun apakan daya rakyat memilih orang lain.

“Perkara itu perlu dilihat secara menyeluruh termasuk adakah dasar yang dilaksanakan kita menepati cita rasa rakyat selain janji manifesto yang belum ditunaikan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai PRK DUN Rantau, Mukhriz berkata pemilihan calon PH untuk bertanding di kerusi berkenaan tidak boleh dipandang ringan memetik laporan Berita Harian.

“Ini kerana lebih-lebih lagi bekas Menteri Besar (Datuk Seri Mohamad Hassan) yang bertanding di kerusi berkenaan.

“Bagaimanapun saya tidak terbabit secara langsung dan akan ada perjumpaan lebih teliti dalam masa terdekat,” katanya.

Sabtu lalu, Barisan Nasional (BN) merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih apabila calonnya, Zakaria Hanafi menang selepas meraih 19,780 undi menewaskan tiga lagi pencabarnya dalam PRK kali ini.

Zakaria yang berasal dari Kampung Sesapan Kelubi, Beranang, Selangor, menewaskan calon PH, Mohammad Aiman Zainali yang memperoleh 17,866 undi, sementara calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul (847 undi) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng atau ‘Uncle Kentang’ memperoleh 725 undi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");