Berita Hari Ini

Keputusan Sertai Statut Rom Tidak Jejas Kedudukan Agong

KUALA LUMPUR: Kedudukan dan kekebalan Yang di-Pertuan Agong tidak terjejas selepas negara menyertai Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Memetik laporan BH Online, Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata kerajaan mengkaji secara mendalam dengan teliti dari segi semua aspek sebelum membuat keputusan untuk menyertai badan itu.

“Keputusan kerajaan menyertai Statut Rome adalah selari dengan dasar kerajaan Malaysia Baharu yang menegakkan prinsip kebenaran, hak kemanusiaan, kedaulatan undang-undang, keadilan, tadbir urus yang baik, integriti dan kebertanggungjawaban.

“Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan Yang di-Pertuan Agong membuat sesuatu keputusan atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.

“Malah, perkara ini sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berhubung hasrat kerajaan menyertai Statut Rome lalu pada 15 Februari lalu,” katanya.

Ia adalah lanjutan warkah daripada Perdana Menteri kepada pemangku Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, pada 26 Disember 2018 berhubung perkara sama.

Kenyataan Wisma Putra menyebut, sebagai negara yang menandatangani ‘The Final Act of the United Nations Diplomatic Conference of Plenipotentiaries on the Establishment of an International Criminal Court pada 17 Julai 1998 bagi penubuhan ICC, Malaysia berpegang kepada prinsip jenayah serius perlu dibawa ke muka pengadilan.

“Jenayah serius seperti termaktub dalam Artikel 5 Statut Rome iaitu genosid, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan pencerobohan adalah jenayah yang tidak dapat diterima oleh masyarakat antarabangsa dan pelakunya harus dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");