Berita Hari Ini

Keputusan SPM Diumum 14 Mac Ini

PUTRAJAYA – Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2018 akan diumumkan pada 14 Mac ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia dalam satu kenyataan berkata, calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan di sekolah masing-masing selepas pukul 10 pagi pada hari yang sama.

“Calon persendirian akan dimaklumkan melalui pos atau boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka berdaftar untuk menduduki peperiksaan,” katanya di sini hari ini, lapor Kosmo Online.

Kenyataan itu berkata, calon SPM juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan keputusan melalui mySMS 15888.

Menurutnya, perkhidmatan itu akan diaktifkan selama tujuh hari mulai 14 Mac ini pukul 10 pagi dan akan ditamatkan pada 20 Mac depan pukul 6 petang.

Keputusan juga boleh disemak melalui laman web Lembaga Peperiksaan di alamat sppat.moe.gov.my/semakan.

Sementara itu, bagi calon SPM tahun lalu yang ingin mengambil SPM Ulangan 2019, pendaftaran akan dibuka bermula 14 Mac hingga 31 Mac depan.

Calon yang berhasrat mengambil SPM sebagai calon persendirian juga boleh berbuat demikian pada tarikh berkenaan.

Pendaftaran boleh dibuat dalam talian dengan melayari laman web Lembaga Peperiksaan di alamat sppat.moe.gov.my.

“Urusan pengesahan pendaftaran dan pembayaran hendaklah dibuat melalui Jabatan Pendidikan Negeri tempat calon ingin menduduki peperiksaan,” katanya.

Seramai 421,706 calon telah mendaftar untuk menduduki SPM di 3,308 pusat peperiksaan di seluruh negara untuk tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 362,754 merupakan calon Sekolah Kerajaan, Bantuan Kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

Sebanyak 9,427 adalah calon sekolah bawah agensi kerajaan selain KPM, Sekolah Menengah Agama Negeri (8,160), Sekolah Menengah Agama Rakyat (2,059), Sekolah Swasta yang berdaftar dengan KPM (14,001) dan calon persendirian (25,305).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");