Berita Hari Ini

Kerajaan Bayar Royalti Kelantan April Depan – Azmin

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan dijangka menyelesaikan royalti petroleum yang menjadi tuntutan Kerajaan Negeri Kelantan April depan selepas Kerajaan Negeri menyelesaikan proses menarik balik saman di mahkamah.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Persekutuan bagaimanapun telah membayar sebahagian daripada tuntutan tersebut, manakala selebihnya tertangguh kerana pertikaian melibatkan saman yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri ke atas Kerajaan Persekutuan dan Petronas.

“Tidak mungkin kita membuat pembayaran sekarang apabila ada pertikaian di dalam mahkamah, kita kena selesaikan itu dulu, bila betul boleh selesaikan pada April, kita boleh lunaskan.

“Terengganu sudah dapat, Kerajaan Negeri telah bersetuju, cuma proses itu mengambil masa, kerana sekarang pihak peguam negeri juga Federal (Kerajaan Persekutuan) tengah meneliti dokumen-dokumen tersebut, dan kalau selesai pada April, semua perkara ini boleh diselesaikan,” katanya selepas berucap di Program Ministerial Talk Series di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, pada Khamis.

Sebelum ini Kerajaan Negeri telah menarik saman yang dikemukakan ke atas Kerajaan Persekutuan dan Petronas berhubung isu tuntutan royalti petroleum di kawasan bertindih di Joint Development Area (IDA), 120 batu nautika dari perairan Kelantan.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub pada 14 Jan lepas memperbaharui permohonan tuntutan royalti petroleum dengan Kerajaan Persekutuan menerusi pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya.

Kerajaan Negeri Kelantan telah mengemukakan saman terhadap Petronas berhubung tuntutan royalti di Mahkamah Tinggi pada 2011 dan pada Oktober tahun lalu kerajaan negeri menarik balik saman tersebut lapor Astro Awani.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");