Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, inisiatif itu yang bertujuan menyediakan perlindungan kesihatan takaful percuma kini melibatkan 3.69 juta individu berpendapatan rendah (B40) berumur 18 hingga 55 tahun, serta pasangan mereka.

“Apa yang ditawarkan di pihak swasta adalah dari 18 hingga 55 tahun yang lebih itu dianggap ‘non-insurable’ (tidak layak untuk perlindungan), tetapi kerana ini adalah inisiatif kerajaan dan oleh itu kita akan pertimbangkan cadangan sama ada kita boleh lanjutkan sikit (umur),” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang menaikkan had umur penerima mySalam kerana ramai yang mengalami penyakit seperti Alzheimer pada usia melebihi 55 tahun.

Menjawab soalan asal Maria mengenai apa terjadi kepada baki dana mySalam sekiranya jumlah tuntutan kurang daripada jumlah dana itu, Lim berkata, lebihan atau keuntungan akan disalurkan kembali ke skim mySalam. – Bernama