Berita Hari Ini

Kerajaan Tidak Akan Berkompromi – Mujahid

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penghinaan terhadap Islam atau mana-mana agama dan kaum di negara ini.

Itu penegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof mengenai tindakan beberapa pihak yang memuat naik status menghina Islam dalam media sosial.

“Saya menerima sejumlah rungutan orang awam berkaitan posting-posting (status) yang bersifat menghina Islam di media sosial.

“Saya tegaskan sekali lagi kerajaan memandang serius hal ini dan pihak kami akan mencadangkan hukuman yang lebih berat dikenakan,” katanya dalam akaun Facebook, sebagaimana dilaporkan Utusan Online.

Menurutnya lagi, orang ramai juga perlu membuat laporan polis untuk memudahkan tindakan selanjutnya.

“Namun dalam proses ini saya juga menyeru orang ramai untuk membuat laporan polis bagi memudahkan pihak berkuasa bertindak.

“Bukan sekadar menjadi pe­nyambung lidah penghinaan kepada Islam dengan bertindak berkongsi posting-posting (status) dan juga screenshot (tangkap layar) tersebut.

“Jika kita sayangkan Islam jadilah ummah yang cakna. Buat laporan di balai polis terdekat untuk membantu pihak berkuasa bertindak,” katanya.

Sementara itu, sebanyak lima laporan polis dilakukan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri selepas tersebar­nya fitnah terhadap kenyataan Mujahid.

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan memberitahu kenyata­an Mujahid berhubung himpunan membantah penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan agama Islam, Jumaat lalu telah dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, Mujahid juga telah menegaskan bahawa kenyataan asal beliau mengenai perhimpunan itu telah dimanipulasi sehingga tersasar daripada konteks asal.

“Sehubungan itu, wakil pejabat menteri telah pun membuat lima laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, semalam.

“Ingin ditegaskan, meskipun kerajaan hari ini sentiasa terbuka dan menyokong kebebasan bersuara serta kebebasan media, namun dinasihatkan agar masyarakat sentiasa peka dan berhati-hati agar tidak menyebarkan fitnah serta berita palsu,” katanya pada Isnin.

Khamis lalu, Mujahid dilaporkan berkata tindakan Pemuda UMNO dan Dewan Pemuda Pas yang mengugut untuk mengadakan perhimpunan aman berikutan kes penghinaan Nabi Muhammad SAW dianggap sebagai satu tindakan bersifat politik yang ‘menunggang agama’.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu turut mengatakan tidak melihat kepentingan untuk melakukan sebarang perhimpunan aman kerana pesalah telah dihukum dan dijatuhkan hukuman.

Mujahid menerusi akaun Facebook miliknya semalam menegaskan kenyataan asalnya berhubung perhimpunan membantah penghinaan ke atas Nabi Muhammad SAW itu telah dimanipulasi sehingga tersasar daripada konteks asal penyampaian.

Jelasnya, beliau bermaksud himpunan bagi mendesak kerajaan bertindak sudah tidak perlu kerana kerajaan sudah pun mengambil tindakan perundangan mengikut peruntukan undang-undang.

“Maksud sebenar saya ialah tak perlulah Pas atau UMNO mengatakan seolah-olah merekalah yang paling kasihkan Nabi Muhammad SAW, orang lain selain Pas dan UMNO tidak kasihkan Baginda.

“Kita semua umat Nabi Muhammad SAW dan kita semua kasihkan Baginda,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");