Jenayah

Kes Rasuah Rosmah Dipindah Ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR: Permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes rasuah isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek tenaga solar di sekolah luar bandar Sarawak, hari ini dibenarkan Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah selaku responden.

Sri Ram dalam hujahan berkata, pihaknya memohon memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi kerana kes rasuah membabitkan bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak, Rizal Mansor yang mempunyai asas tuduhan sama dengan kes rasuah Rosmah, turut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi,

Selain itu katanya, Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa lebih luas berbanding Mahkamah Sesyen untuk mendengar kes rasuah terbabit.

Sementara itu, Jagjit dalam hujahnya, memberitahu mahkamah bahawa tiada sebab untuk pihak pendakwaan memindahkan kes anak guamnya ke Mahkamah Tinggi kerana Hakim Mahkamah Sesyen mempunyai kredibiliti untuk mendengar kes rasuah berkenaan.

“Kenapa tidak dikekalkan di Mahkamah Sesyen sedangkan di sini (Mahkamah Kuala Lumpur) terdapat tiga Mahkamah Sesyen yang boleh mendengar kes anak guam (kami),” katanya, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Pada 15 November lalu, Rosmah, 67, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dua tahun lalu.

Pada tarikh sama di mahkamah berasingan, Rizal mengaku tidak bersalah meminta dan menerima rasuah untuk dirinya dan Rosmah berhubung projek yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");