Perak Hari Ini

KPDNHEP Perak Rampas Telekung Jenama Terkemuka Tiruan

PARIT BUNTAR: Tidak hanya barangan berjenama terkemuka luar negara, malah telekung jenama tempatan juga turut menjadi mangsa kegiatan pemalsuan di negeri ini.

Ekoran itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak telah menjalankan satu operasi di sebuah pasar, dekat sini, Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasanya , Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata hasil risikan yang dijalankan selama seminggu itu, sebanyak 558 unit telekung berjenama Siti Khadijah telah dirampas.

Selain itu, 45 unit beg dan 12 katalog telekung berjenama sama turut dirampas dalam serbuan tersebut.

Katanya lagi, sebanyak 26 unit baju dan 69 unit seluar berjenama Gucci; 129 unit seluar berjenama Levi’s serta 116 unit seluar berjenama Puma juga dirampas.

Ujarnya, anggaran nilai rampasan bagi keseluruhan barangan tersebut berjumlah RM27,485.

“Semasa kehadiran pegawai serbuan menuju ke tempat kejadian, para peniaga dalam keadaan kelam kabut cuba membawa lari barangan berjenama yang disyaki tiruan dari gerai mereka.

“Tetapi telah dihalang oleh Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP berpakaian preman yang telah sedia ada di dalam gerai berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, operasi telah melibatkan 26 anggota yang terdiri daripada anggota KPDNHEP dan pegawai daripada cap dagang yang terbabit.

Sementara itu ujar Ahmad Ahrazzuddin, siasatan awal mendapati daripada tujuh gerai yang diserbu, lima daripadanya dimiliki individu berstatus penduduk tetap, manakala dua lagi dimiliki warga tempatan.

Tambahnya, kesemua gerai tersebut telah beroperasi lebih kurang 10 tahun selain turut menjadi pembekal utama kepada peniaga pasar malam dan tapak-tapak ekspo jualan di sekitar Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Jelasnya kes disiasat di bawah Seksyen 8 (2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011.

Dalam pada itu, kata Ahmad Ahrazzuddin, bagi kesalahan yang sama, hasil pemeriksaan di seluruh negeri dalam tempoh 1 Januari 2019 sehingga 2 Mac 2019, sebanyak lapan kes telah disiasat dan ia melibatkan nilai rampasan berjumlah RM83,057.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");