Jenayah
Like

Lindungi Rumah Urut: Ketua Balai Polis, Pegawai Bomba Ditahan

March 19, 2019
575 Views
0 Comments
1 minute read
Lindungi Rumah Urut: Ketua Balai Polis, Pegawai Bomba Ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang ketua balai polis antara 16 individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima wang sogokan untuk melindungi premis urut di sekitar ibu kota.

Sumber SPRM berkata kesemua suspek dipercayai menerima sogokan itu daripada pemilik premis urut dan ditahan di 16 lokasi sekitar Lembah Klang.

“Kesemua mereka ditahan sekitar jam 10 hingga 5 petang ini hasil risikan kami sejak tiga bulan lalu,” katanya kepada Bernama di sini.

Katanya, seramai 40 pegawai SRPM terbabit dalam serbuan itu dan daripada 16 yang ditahan, tujuh adalah penjawat awam manakala sembilan adalah orang awam.

Mereka ditahan kerana disyaki melindungi sindiket berkenaan dan menerima rasuah, katanya.

Sumber itu berkata antara penjawat awam yang ditahan adalah dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pegawai bomba dan penyelamat dan ketua sebuah balai polis.

“Difahamkan premis urut yang menggunakan khidmat wanita warga asing itu pernah diserbu oleh Jabatan Imigresen pada Sabtu lalu,” katanya.

Menurut sumber itu, kumpulan suspek itu menerima wang sogokan secara bulanan dengan bayaran minimum RM1,000 setiap bulan.

Sumber berkata wang berkenaan adalah sebagai perlindungan supaya premis mereka tidak diganggu dan dipercayai terdapat perantara yang akan mengambil wang itu daripada pemilik premis berkenaan pada setiap bulan.

Sementara itu Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan kesemua tangkapan berkenaan.

“Ya, kesemua suspek ditahan di SPRM Putrajaya serta disiasat mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009,” katanya sambil menambah reman akan dimohon daripada mahkamah pada Selasa.

Komen & Pendapat

Comments are closed.