Sukan Hari Ini

LTdL 2019: Dunia Bangga Dengan Kecekapan Marshal Dan PDRM

Malaysia merupakan antara negara yang paling cekap dalam aspek kawalan keselamatan penganjuran siri jelajah berbasikal bertaraf antarabangsa.

Pengarah Teknikal LTdL 2019, Geoff Kronenburg memberitahu bahawa pelumba-pelumba siri jelajah berbasikal itu sentiasa yakin dengan kualiti gerak kerja selain kecekapan pihak marshal dan PDRM mengawal selia keselamatan sepanjang perlumbaan.

Malah jelas beliau, pasukan trafik PDRM telah menerima latihan dari individu-individu berpengalaman sebelum ini dan menjadikan mereka sebagai pasukan yang paling cekap di dunia.

“Pasukan Polis Malaysia merupakan antara yang berpengalaman dalam mengawal selia sama ada dari segi lalu lintas mahupun aspek keselamatan pelumba dan penonton.

“Bukan semua pasukan polis cekap dalam siri jelajah berbasikal. Banyak faktor keselamatan yang perlu dijaga dan dikawal tanpa sedikit pun memberi kesan kepada penduduk di sepanjang laluan.

“Bayangkan di negara luar, jalan raya terpaksa ditutup sehingga berjam-jam bagi menjayakan siri jelajah dan ia beri kesan negatif kepada penduduk yang tinggal di laluan terlibat.

“Tapi di Malaysia, polis kita tak perlu buat macam tu dan dalam masa sama tidak ada pihak yang terjejas dari segi keselamatan,” katanya ketika ditemui Peraktoday hari ini.

Jelasnya lagi, disebabkan pengalaman dan kecekapan yang tinggi, terdapat permintaan untuk pihak mashal dan pasukan trafik PDRM melatih pasukan keselamatan di negara luar.

“Bayangkan betapa cekapnya polis kita sehingga ada negara luar yang nak anjurkan jelajah berbasikal bertaraf antarabangsa, mereka minta PDRM jadi pasukan yang kawal keselamatan.

“Sebab itu untuk LTdL 2019, pelumba tidak begitu bimbang dari segi keselamatan. Malaysia antara negara yang paling selamat,” katanya lagi.

Untuk LTdL 2019, kira-kira 80 anggota polis trafik bakal terlibat untuk mengawal lalu lintas selain 30 anggota di setiap permulaan dan penamat di 8 Stages laluan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");