Panasnya Hari Ini

Maszlee: Universiti Perlu Tunjuk Sikap Jelas Isu Kebebasan Bersuara Mahasiswa

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menyifatkan Universiti Malaya (UM) sebagai menunjukkan “sikap tidak jelas” dan “mengambil jalan semangat” berhubung kebebasan bersuara mahasiswa.

Maszlee berkata demikian selepas semalam Universiti Malaya (UM) mengeluarkan kenyataan berhubung pergelutan melibatkan pelajar dan penyokong bekas perdana menteri Najib Razak.

“Saya ingin mengingatkan pihak pengurusan universiti untuk sentiasa mendukung pendirian dan kebebasan mahasiswa, asalkan ia bukan sesuatu yang tidak bertentangan dengan undang-undang negara dan peraturan-peraturan universiti.

“Adalah tidak wajar untuk pihak pengurusan universiti menunjukkan sikap tidak jelas dan mengambil jalan selamat, sedangkan mahasiswa kita diserang oleh pihak tidak bertanggungjawab,” kata Maszlee dalam kenyataan media hari ini.

Dalam respons berhubung insiden Jumaat lalu yang berlaku di Restoran Amjal di hadapan universiti itu, UM menegaskan bahawa pihak universiti tidak menyokong tindakan provokasi meskipun memberi ruang kebebasan pelajar menyuarakan pandangan.

“UM tidak menyokong mana-mana tindakan provokasi lisan mahupun visual sama ada dilakukan oleh pelajar mahupun kumpulan tertentu memandangkan masyarakat Malaysia menuju ke arah masyarakat madani yang penuh dengan kesantunan dan kesusilaan,” kata kenyataan yang dikeluarkan UM.

Kenyataan media UM itu turut memetik Naib Canselor UM, Abdul Rahim Hashim yang berkata bahawa kejadian berkenaan boleh dielakkan sekiranya semua pihak mengelakkan kata-kata dan tindakan provokatif.

Mengulas lanjut, Maszlee mengingatkan bahawa kejadian seumpamanya boleh berulang di kampus lain jika pihak universiti memandang isu berkenaan dengan “sambil lewa”.

“Semua Naib Canselor khasnya wajar mempamerkan sikap mengutuk tindakan tidak beradab sekumpulan individu yang menyerang mahasiswa ini.

“Kita tidak boleh gentar dan takut dalam menyatakan kebenaran atas nama prinsip keluhuran sebuah gedung ilmu bernama universiti,” tambah Maszlee

Insiden pergelutan antara pelajar UM dan penyokong Najib dua hari lalu berlaku selepas sekumpulan pelajar Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) berhimpun sambil memegang plakad anti-Najib di seberang jalan Restoran Amjal, ketika bekas perdana menteri itu sedang berucap.

Susulan itu, beberapa penyokong Najib menghampiri kumpulan pelajar berkenaan dan merampas plakad yang dipegang pelajar, seterusnya berlaku pergelutan. Masing-masing penganjur program dan pelajar sudah membuat laporan polis.

Dalam insiden sama, dua wartawan pelatihMalaysiakini yang membuat liputan acara itu mendakwa diganggu dan dilemparkan kata-kata kesat oleh penyokong Najib.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim memaklumkan bahawa 12 laporan polis diterima pihaknya berhubung insiden pergelutan itu dan 10 saksi sudah memberi keterangan.

Tujuh pelajar yang terlibat dalam insiden berkenaan juga sudah diambil keterangannya.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");