Membawang Hari Ini

‘Media Sosial Bukan Tempat Tayang Barang Mewah Sahaja’

KUALA LUMPUR: Bintang pop Taiwan, Wang Leehom, 42, mengajak masyarakat menjadikan media sosial sebagai medium untuk menyebarkan kebaikan, bukan sekadar menayangkan barangan berjenama atau gaya hidup mewah.

Sebagai selebriti, katanya, dia lebih selesa memanfaatkan kelebihan medan maya yang mampu diakses ramai pengguna lain di seluruh dunia dengan berkongsi kerja kebajikan supaya dapat menyuburkan lagi nilai kemanusiaan.

“Jangan malu untuk menunjukkan amalan baik yang boleh dijadikan contoh, terutama kepada generasi muda, yang seakan-akan lebih seronok berlumba-lumba mahu bermegah terhadap kebendaan seperti menayangkan kekayaan.

“Lebih baik kita menyuntik kesedaran dalam kalangan masyarakat dengan mempromosikan kerja amal supaya nilai dikongsi itu nanti boleh menjadi inspirasi pula kepada orang lain, biarpun jarak memisahkan kita beribu-ribu batu.

“Bagi saya, Instagram dan semua akaun media sosial peribadi saya adalah saluran bagi mempromosikan aktiviti seni serta tidak ketinggalan kerja kebajikan yang dilaksanakan bersama pasukan World Vision Malaysia,” katanya, di sini.

Penyanyi, pengarah dan pelakon itu diterbangkan ke ibu negara bersempena majlis pengumuman pelantikannya sebagai duta organisasi kemanusiaan global, World Vision Malaysia.

Mengakui kerja amal sudah sebati dalam hidup apabila ibu bapanya juga cenderung melaksanakan pelbagai misi kemanusiaan, pembabitan dalam World Vision Malaysia nyata terus menyemarakkan semangatnya untuk membantu insan lain.

Malah, naluri sebagai bapa kepada seorang cahaya mata juga antara perangsang kepadanya untuk terus mendekati golongan memerlukan, terutama kanak-kanak, baik dari segi pendidikan, perubatan mahu pun sosial.

Bersama pertubuhan sama sejak 2012, dia pernah menyertai misi kemanusiaan hingga menjelajah Laos pada 2007, disusuli China (2008) dan Sierra Leone setahun selepas itu, selain menaja 16 kanak-kanak Kemboja, Guatemala, Sierra Leone serta Taiwan.

Pada masa sama, Leehom juga bakal merealisasikan Konsert Jelajah Descendants of the Dragon 2060 di Stadium Merdeka, jam 8 malam ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");