Jenayah

Pengubahan Wang Haram: Najib Kekal Pengakuan Tidak Bersalah

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap tiga tuduhan kes pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM27 juta.

Najib yang tampil ke mahkamah dengan mengenakan sut kelabu membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan, selepas tiga tuduhan berkenaan dibacakan terhadapnya.

Menurut BH Online, mahkamah menetapkan 17 April depan untuk sebutan semula kes dan mengekalkan bon jaminan peribadi ditetapkan mahkamah terhadap Najib.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup, memohon tarikh lain bagi pengurusan kes itu untuk memberikan perkembangan terkini permohonan empat rayuan interlokutori Najib dikemukakan di Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib memohon mahkamah tidak mendengar bersama tiga tuduhan itu dengan tujuh tuduhan lain membabitkan SRC International dihadapi anak guamnya itu.

Pada 8 Februari lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes yang dihadapi bekas perdana menteri itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Najib, 66, didakwa dengan tiga pertuduhan tambahan pengubahan wang haram membabitkan dana berjumlah RM27 juta, lima tahun lalu.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan berkenaan, Najib didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima masing-masing RM27 juta, RM10 juta dan RM10 juta yang juga hasil daripada kegiatan haram dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Jika bersabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, di Mahkamah Tinggi berlainan, Hakim Mohd Nazlan menetapkan 18 Mac depan untuk pengurusan kes Najib.

Beliau menetapkan Isnin depan untuk pengurusan kes Najib yang didakwa atas tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Terdahulu, Manoj memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan memaklumkan perkembangan empat rayuan Najib ditetapkan untuk pendengaran pada 11 Mac lalu dan 15 Mac ini di Mahkamah Rayuan.

Rayuan itu membabitkan perintah menghalang media daripada menyiarkan perbincangan umum berkaitan merit kes itu, penzahiran dokumen, pelantikan Datuk Sulaiman Abdullah sebagai ketua pasukan pendakwaan dan sijil pindah kes.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");