Kata Ahli Parlimen Teluk Intan itu, beliau menyokong agenda perpaduan kaum dan tidak pernah mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman seperti penggunaan istilah ‘pendatang’ yang didakwanya pernah digunakan UMNO.

“Saya sentiasa berusaha keras mempromosikan perpaduan kebangsaan dan tidak pernah panggil mana-mana kaum sebagai ‘pendatang’ seperti yang pernah dilakukan UMNO.

“(Datuk Seri) Najib (Tun Razak) patut beli cermin kalau dia masih belum ada,” katanya melalui ciapan dalamnakaun Twitter miliknya di sini hari ini.

Beliau membalas kenyataan Najib yang menyifatkan kenyataan Kor Ming sebagai hasutan yang melampau.

Menurut laporan portal Malaysia Gazette yang memetik akhbar Kwong Woh Yit Poh semalam, Kor Ming mendakwa Malaysia akan menjadi Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya UMNO dan Pas membentuk kerajaan.

Lapor portal itu lagi, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu turut memberi amaran bahawa rakyat akan menderita dan tidak boleh lagi berpatah balik sekiranya kedua-dua parti yang baru mengumumkan kerjasama mereka secara rasmi itu berjaya memegang tampuk pemerintahan negara ini. – UTUSAN ONLINE