Berita Hari Ini

NSTP, Utusan Setuju Bayar Ganti Rugi Kepada Guan Eng

New Straits Times Press (NSTP) dan Utusan Melayu (M) Sdn Bhd bersetuju untuk membayar ganti rugi berjumlah RM400,000 kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes saman fitnah difailkannya yang melabelkannya sebagai “ejen Singapura”.

Peguam Lim, Americk Singh Sidhu memaklumkan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini bahawa kedua-dua kumpulan media arus perdana itu bersetuju untuk memenuhi perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan mereka (NSTP dan Utusan Melayu) masing-masing membayar ganti rugi sebanyak RM200,000 kepada Lim.

Beliau kemudiannya memohon untuk menarik balik permohonan Lim untuk mendapatkan kebenaran untuk merayu terhadap NSTP, bekas Pengarang Kumpulannya Datuk Syed Nazri Syed Harun, Utusan Melayu dan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Datuk Abdul Aziz Ishak.

Sementara itu, Americk Singh memohon mahkamah supaya menetapkan tarikh pengurusan kes bagi perkara yang melibatkan tiga responden iaitu Perkasa, Presidennya Datuk Ibrahim Ali dan bekas Ketua Penerangan Perkasa Ruslan Kassim, yang memohon masa untuk kemungkinan penyelesaian.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Balia Yusof Wahi dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin membatalkan permohonan kebenaran untuk merayu terhadap kumpulan media arus perdana itu.

Mahkamah menetapkan 3 April untuk pengurusan kes melibatkan Perkasa, Ibrahim dan Ruslan.

Lim, yang ketika itu Ketua Menteri Pulau Pinang, memfailkan saman fitnah pada 2012 terhadap tujuh responden.

Beliau mendakwa Ruslan menyiarkan kenyataan di laman sesawang Perkasa pada 1 Okt 2011, yang membayangkan bahawa beliau membahayakan keselamatan negara dengan mendedahkan rahsia negara ini kepada Singapura.

Pada Mac 2015, hakim Mahkamah Tingggi ketika itu Nor Bee Ariffin (kini Hakim Mahkamah Rayuan) mendapati penerbit, Perkasa, Ibrahim dan Ruslan bertanggungjawab terhadap fitnah.

Mahkamah memerintahkan Ruslan, Ibrahim dan Perkasa membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am dan teruk, manakala Syed Nazri dan NSTP membayar RM200,000, serta Abdul Aziz dan Utusan Melayu membayar RM200,000 sebagai ganti rugi am dan teruk.

Pada 2016, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan responden untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang menyebabkan Lim memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan tahun berikutnya.

Peguam TH Liew dan Lim Qi Si mewakili NSTP dan Utusan Melayu manakala peguam Mohd Irwan Mohd Mubarak bagi pihak Ruslan serta peguam Adnan Seman untuk Ibrahim dan Perkasa.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");