Membawang Hari Ini

Ogy Anggap Kenyataan A Aida Biadab

BUKAN hanya memandang rendah golongan pelakon, sebaliknya, pelakon dan penerbit, Datuk A. Aida juga dianggap sebagai biadab kerana meminta bakat baharu jangan buang masa menghadiri uji bakat jika tidak memenuhi kriteria berwajah cantik dan kacak.

Mengecam kenyataan A. Aida itu, seniwati tersohor negara, Fauziah Ahmad Daud berkata, tidak pernah ada garis panduan yang jelas mengatakan untuk menjadi pelakon seseorang itu harus berwajah cantik atau kacak.

Menurut Fauziah atau lebih mesra dikenali sebagai Ogy, tidak ada di dalam buku persiapan menjadi seorang aktor oleh legenda seni lakon Konstantin Stanislavski, yang mengatakan bahawa rupa memainkan peranan penting dalam lakonan seseorang.

“Tidakkah kenyataan dia itu seolah-olah mengatakan bahawa ada ciptaan Tuhan yang buruk?” soal Ogy.

Dalam temu bual dengan Astro AWANI, Ogy meluahkan rasa kesalnya dengan kenyataan A Aida yang disifatkannya sangat biadab.

Ogy juga mengingatkan penerbit drama dan filem agar berhenti menyalahkan penonton yang hanya mahu melihat pelakon yang cantik dan tampan serta sasa di televisyen mahupun di layar perak.

A. Aida dalam kenyataannya kepada akhbar Harian Metro menegur peserta yang terlalu yakin dan berasakan sangat berkelayakan sebagai duta untuk sebuah progam pencarian bakat agar melihat rupa sendiri di cermin terlebih dulu.

Bagi pelakon terkenal, Que Haidar pula, kenyataan A. Aida itu tidak boleh diterima kerana dalam dunia moden hari ini, paras rupa juga boleh ‘digilap’ seperti mana bakat lakonan seseorang.

“Mungkin beliau lupa rupa paras pun boleh ‘digilap’ untuk zaman sekarang ini dan akan ditelan usia dan setiap hari ada muka baharu yang akan muncul… tetapi bakat serta ilmu yang akan terus kekal walau sudah ditelan usia,” kata Que dalam entri yang dimuat naik dalam Instagram peribadinya.

Que turut menyatakan rasa hairannya bagaimana pada tahun 2019 masih ada lagi orang dalam industri masih berfikiran sedemikian.

Bagi pelakon dan pengarah Melissa Saila, dia hanya ketawa melihat kenyataan A Aida yang baginya tidak masuk akal.

“Apakah ini bermakna Merly Streep, Steve Buschemi juga jatuh dalam kategori (tiada) ‘pakej’? Apakah yang dimaksudkan dengan ‘pakej’?” tegas Melissa mempersoalkan pemahaman pakej yang ditimbulkan oleh A. Aida.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");