Membawang Hari Ini

One Two Jaga Filem Terbaik FFM30

PUTRAJAYA: One Two Jaga dinobat sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-30 (FFM30) yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini malam tadi.

Menurut laporan BH Online, selain pengiktirafan tertinggi terbabit, karya terbitan Pixel Play Entertainment arahan Namron itu turut mencipta kegemilangan dengan membawa pulang lima lagi anugerah lain.

Bintang utamanya, Rosdeen Suboh, diumumkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, manakala Namron sendiri berjaya menjulang trofi Pengarah Terbaik.

Filem itu juga memenangi kategori Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Poster Terbaik.

Bersaing dengan empat filem hebat iaitu Dukun, Paskal The Movie, Vedigundu Passange dan Guang, karya itu mengangkat kisah sisi gelap dunia kepolisan dengan paparan segelintir anggotanya terbabit dalam gejala rasuah serta jenayah.

Trofi disampaikan Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Gobind Singh Deo, yang turut merasmikan malam kemuncak festival berkenaan.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi & Multimedia, Eddin Syazlee Shith; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Samsuni Mohd Nor; dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Seperti diramalkan, lakonan hebat Datin Seri Umie Aida dalam Dukun sekali lagi melayakkannya diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik.

November lalu, Umie menjulang trofi Pelakon Wanita Terbaik Filem, Anugerah Skrin 2018, menerusi naskhah sama.

Lakonan Nabila Huda dalam Makrifat Cinta pula memikat hati juri untuk memilihnya sebagai penerima trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, manakala Hasnul Rahmat daripada Polis Evo 2 sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Trofi Pelakon Lelaki Harapan menjadi milik Kyo Chen hasil persembahannya menerusi Guang, manakala kategori Pelakon Wanita Harapan diungguli Jaya Ganason (The Farm En Veettu Thottathil).

Eng Wei Jie pula dipilih sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik menerusi Rise Of The Legend: Lee Chong Wei.

FFM30 turut mengiktiraf filem Paskal The Movie, Vedigundu Pasangge dan Busker untuk menerima Anugerah Khas Juri.

Penghormatan juga diberikan kepada pengarah dan pelakon, AR Badul, yang menerima Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman.

Mengangkat tema Inspirasi Sinemaku, FFM30 menyaksikan 42 filem bersaing merebut 27 trofi dipertandingkan, termasuk tiga anugerah khas.

Daripada karya terbabit pula, 25 daripadanya adalah filem berbahasa Malaysia, Mandarin (lapan), Tamil (tujuh) dan dua lagi Kantonis.

Acara itu dihoskan artis serba boleh, Nabil Ahmad, yang bergandingan dengan Adibah Noor. Ia diserikan dengan persembahan Datuk Jamal Abdillah, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datin Alyah, Jaclyn Victor, Hafiz Suip, Ernie Zakri, Sophia Liana, Zizi Kirana, Syamel, Billy Zulkarnain dan Innuendo.

Info: Pemenang FFM30

Filem Terbaik: One Two Jaga (Pixel Play Entertainment)
Pengarah Terbaik: Namron (One Two Jaga)
Pelakon Lelaki Terbaik: Rosdeen Suboh (One Two Jaga)
Pelakon Wanita Terbaik: Datin Seri Umie Aida (Dukun)
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Hasnul Rahmat (Polis Evo 2)
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Nabila Huda (Makrifat Cinta)
Pengarah Harapan: Quek Shio Chuan (Guang)
Pelakon Kanak-Kanak Terbaik: Eng Wei Jie (Rise Of The Legend: Lee Chong Wei)
Pelakon Wanita Harapan: Jaya Ganason (The Farm En Veettu Thottathil)
Pelakon Lelaki Harapan: Kyo Chen (Guang)
Lakon Layar Terbaik: Amri Rohaiyat, Fared Ayam & Namron (One Two Jaga)
Sinematografi Terbaik: Yeong Tuck Wei (Guang)
Cerita Asal Terbaik: Pitt Haniff, Muhammad Syafiq & Namron (One Two Jaga)
Kostum & Busana Terbaik: Andy Sulaiman (Dukun)
Penataan Bunyi Terbaik: Imaginex Studio Sdn Bhd (Pulang)
Penataan Seni Terbaik: Chan Hsien Yu (Guang)
Kesan Khas Terbaik: Pixelpost (Dukun)
Penyunting Terbaik: Raja Affandi Raja Jamaludin (Dukun)
Skor Muzik Asal Terbaik: Nick Davis (Two Sisters)
Poster Terbaik: Jazzy Pictures (One Two Jaga)
Lagu Tema Terbaik: Atma Jiwa, Monoloque (Busker)
Anugerah Khas Juri 1: Paskal The Movie (Asia Tropical Films Sdn Bhd)
Anugerah Khas Juri 2: Vedigundu Pasangge (Veedu Production Sdn Bhd)
Anugerah Khas Juri 3: Busker (Astro Shaw Sdn Bhd)
Filem Box Office: Munafik 2 (Skop Productions Sdn Bhd) – RM37,797,423
Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman: AR Badul
Anugerah Penggiat Belakang Tabir: Habsah Hassan

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");