Perak Hari Ini

Orang Asli Suku Temiar Mohon Kerajaan Perak Segera Wartakan Tanah

IPOH: Masyarakat Orang Asli suku Temiar berharap agar Kerajaan Perak dapat segara memberikan perhatian kepada permohonan mereka berhubung isu pewartaan tanah terhadap penempatan Orang Asli.

Tok Batin Kampung Beswok di Pos Yum dekat Sungai Siput, Mohd Daud Anjang, 54, berkata beliau bukan sahaja memohon perkara tersebut kepada kampungnya sebaliknya ia meliputi kesemua kampung suku Temiar di seluruh Perak yang berkeluasan lebih daripada 86,000 hektar.

Katanya, tujuan permohonan sedemikian adalah sebahagian daripada usaha mereka untuk meningkatkan taraf ekonomi di kampungnya.

Jelasnya lagi, apabila ekonomi kampung berkembang dengan baik, ia secara tidak langsung dapat mengelakkan golongan muda masyarakat Orang Asli daripada terus berhijrah ke luar.

“Kami minta diwartakan tanah rayau dan tanah saka untuk kami kerana kami sedang cuba untuk berdikari dengan mewujudkan peluang ekonomi sendiri.

“Jika kami mempunyai tanah sendiri, kami boleh usahakan penanaman getah dan sawit.

“Sekarang kami ada usahakan penternakan ikan. Jika tidak diwartakan mungkin satu hari nanti ia akan diambil orang lain,” katanya kepada PerakToday, di sini hari ini.

Dalam pada itu ujarnya, masyarakat Orang Asli di Pos Yum juga sedang membangunkan perusahaan chalet.

Jelasnya, perusahaan yang telah memasuki lima bulan itu mempunyai 14 buah chalet.

Katanya ia sebagai bukti bahawa penduduk di situ benar-benar ingin meningkatkan peluang ekonomi sendiri dan mampu membangun seperti masyarakat yang lain.

“Kami memohon dengan sebaik mungkin. Sebagaimana kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang telah membantu membela nasib Orang Asli di Kelantan, saya berpendapat tidak ada masalah pula untuk turut diselesaikan di Perak,” ujarnya.

Terdahulu beliau bersama-sama Tok Batin Kampung Mangyes Pos Yum, Alang Pandak, 63, telah hadir ke Pejabat Menteri Besar di Bangunan Perak Darul Ridzuan bagi menghantar memorandum berhubung isu sama.

Katanya memorandum telah berjaya dihantar kepada salah seorang wakil pegawai Menteri Besar Perak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");