Membawang Hari Ini

Pakai Kostum Kamen Rider Di Hari Perkahwinan

TUMPAT: Minat mendalam terhadap adiwira Kamen Rider Faiz mendorong seorang kerani memakai kostum adiwira itu untuk mengabadikan kenangan pada hari perkahwinannya sehingga menjadi tular di media sosial.

Momen itu diabadikan Alif Hakim Azhar, 27, yang juga seorang ahli Cosplay Kelantan untuk sesi penggambaran bersama pasangannya, Nor Afizam Mohd Utama, 25, dari Kampung Laut, di sini, pada 8 Februari lalu.

Alif Hakim berkata, beliau sudah lama berhasrat untuk mengenakan kostum Kamen Rider Faiz pada hari bersejarah itu.

Katanya, beliau bersyukur idea itu disokong isteri yang memahami minatnya terhadap adiwira itu sejak di bangku sekolah lagi.

“Sesi ‘outdoor’ (penggambaran luar) dilakukan di Pantai Mek Mas, Kota Bharu, pada sebelah petang selepas majlis persandingan kami.

“Kostum yang dibeli dengan harga RM3,000 itu sudah lama berada dalam simpanan dan memang saya berhasrat untuk memakainya untuk sesi ‘outdoor’ perkahwinan,” katanya ketika dihubungi BH Online.

Alif Hakim yang bekerja sebagai kerani pentadbiran di sebuah syarikat kosmetik di Pasir Pekan di sini berkata, beberapa keping gambar itu dimuat naik ke akaun Twitternya pada malam Khamis.

“Saya langsung tidak menyangka semua gambar itu mendapat banyak perkongsian seterusnya menjadi tular sekelip mata.

“Di hari persandingan kami pada bulan lalu saya turut menjemput ramai rakan dari Cosplay Kelantan dan beberapa dari mereka hadir dengan mengenakan kostum pelbagai watak termasuk Spiderman, Power Rangers, Naruto dan beberapa watak dalam filem Star Wars,” katanya.

Alif Hakim berkata, beliau memiliki lebih 50 koleksi watak itu termasuk baju-T, patung dan cakera padat siri cerita aksi Kamen Rider.

Katanya, hobinya itu turut dimanfaatkan dengan membuat kerja amal iaitu menyalurkan sumbangan hasil dari pameran cosplay yang dianjurkan di rumah kebajikan.

“Sebahagian dari hasil jualan atau bayaran yang dikenakan kepada orang ramai untuk bergambar dengan maskot, kami salurkan kepada rumah anak yatim atau mereka yang memerlukan.

“Ia adalah sumbangan kecil kami bagi membantu golongan asnaf di negeri ini dan diharapkan akan dapat menjadi contoh untuk orang lain,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");