Perak Hari Ini

Pas Jangan Terlalu ‘Berkhayal’ Untuk Memimpin Perak – Pemuda PH

IPOH: Pemuda Pakatan Harapan (PH) Perak mengingatkan agar pembangkang tidak cuba mencetuskan sebarang bentuk spekulasi kononnya bakal berlaku peralihan kuasa di negeri ini.

Ketuanya, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata perkara tersebut disifatkan mampu mencetuskan rasa panik dan keresahan kepada rakyat yang seterusnya bakal menggugat keharmonian dan ketenteraman masyarakat.

Selain itu, katanya Pas jangan terlalu ‘berkhayal’ untuk menerajui kepimpinan di Perak dengan menggunakan kaedah yang tidak demokratik dalam mencapai matlamat tersebut.

“Pemuda PH Perak berpesan kepada Pas agar tidak terlalu ‘berkhayal’ untuk memimpin negeri Perak sehingga sanggup membuat spekulasi yang mampu memberi kesan negatif kepada rakyat dan ekonomi negeri.

“Jangan sesekali cuba menggunakan kaedah yang tidak demokratik seperti yang dilakukan oleh pasangan yang baru dikahwini mereka iaitu UMNO dan BN pada tahun 2009, yang sehingga menjatuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang diketuai oleh Pas sebagai menteri besar pada ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam satu laporan media, Ketua Pemuda Pas Perak, Mohd Akmal Kamarudin memberi bayangan bahawa gabungan partinya dengan UMNO memungkinkan mereka membentuk kerajaan baharu di Perak.

Selain itu telah tular sejak semalam di aplikasi WhatsApp dan Facebook yang mendakwa Pas dan UMNO sudah mempunyai sokongan yang cukup bagi membentuk kerajaan apabila dikatakan gabungan dua parti tersebut telah memperolehi 31 sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), menerusi surat akuan bersumpah dan ia telah diserahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Ujar Hasnul, kerajaan negeri pimpinan PH kini adalah sebuah kerajaan yang kukuh selain mendapat perkenan oleh Sultan Perak sendiri.

Tambahnya, tidak ada berlaku sebarang permasalahan seperti yang didakwa kerana kesemua wakil rakyat di pihak kerajaan negeri memberi sokongan penuh kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Dua ADUN yang dikaitkan dalam spekulasi ini iaitu ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi telah pun menafikannya dan mereka memberi komitmen yang tinggi kepada Kerajaan Perak ketika ini.

“Zainol yang juga Penasihat kepada Menteri Besar itu juga telah menafikan dakwaan yang tular kononnya beliau dipanggil menghadap Sultan Perak bagi mendapat perkenan untuk menggantikan Menteri Besar,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hasnul mengingatkan agar rakyat tidak terpengaruh dengan khabar angin yang kononnya peristiwa tahun 2009 bakal berulang di Perak.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri menegaskan agar semua pihak, termasuk parti pembangkang agar tidak terlaku sibuk bermain politik yang bersifat tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, semua pihak harus bertanggungjawab dalam menyebarkan sebarang bentuk berita khususnya yang melibatkan sensitiviti dan ketenteraman negeri.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");