Perak Hari Ini

PCCCI Seru Beri Sokongan, Peluang Kerajaan Terajui Pentadbiran Dalam Penggal Ini

IPOH: Pemain industri perniagaan di Perak menzahirkan kebimbangan sekiranya spekulasi berkenaan konflik politik di negeri ini tidak ditangani dengan baik, ia bakal menganggu keharmonian masyarakat yang akhirnya memberi impak kepada perkembangan ekonomi.

Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI), Datuk Liew Sew Yee berkata, pemerintahan masa kini diterajui yang majoritinya adalah muka-muka baharu dalam arena pentadbiran sesebuah kerajaan.

Menurutnya, walaupun ada kalanya tidak sempurna namun semua pihak harus memberi sokongan dan peluang kepada pimpinan kerajaan masa kini untuk terus menerajui tampuk pemerintahan dalam penggal ini.

“Rakyat tidak harus terlalu awal menghakimi kerajaan sebaliknya berikan mereka masa dan ruang untuk menunaikan segala janji mereka dalam masa sepenggal iaitu lima tahun.

“Sekiranya kerajaan gagal menunaikan janji mereka, kita sebagai rakyat boleh melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk melakukan perubahan.

“Kita juga harus kurangkan ‘bermain politik’ serta mengelakkan daripada terus bermain dengan isu perkauman dan agama.

“Lebih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk mempertingkatkan kesejahteraan rakyat dan memperkukuhkan ekonomi negeri,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Perak, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah berkata kerajaan negeri harus memberikan lebih banyak ruang bagi pembangunan ekonomi di negeri ini.

Walau bagaimanapun beliau mengakui kerajaan negeri kini sedang berusaha gigih dalam menarik seberapa ramai pelabur untuk melabur di Perak.

“Jika dilihat dalam beberapa bulan kebelakangan ini, ramai pelabur telah datang melabur ke Perak. Ada sebuah syarikat yang berkaitan dengan industri daging ayam telah melabur lebih daripada RM600 juta.

“Juga ada sebuah syarikat industri sarung tangan getah telah melabur banyak di Perak dan termasuk membuka kilang di Teluk Intan.

“Untuk tempoh ini saya merasakan lebih daripada setengah bilion ringgit telah dilaburkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Bangunan PCCCI di sini, hari ini.

Hadir sama Naib Presiden Dewan Perniagaan India Perak (PICC) John Nesan.

Terdahulu difahamkan para perwakilan daripada kesemua dewan perniagaan yang hadir telah mengadakan satu mesyuarat pada sebelah pagi.

Dalam sidang media sama, Sew Yee berkata kesemua dewan perniagaan tersebut bersama-sama Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Perak dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) Perak bersetuju untuk menjalinkan kerjasama bagi merancakkan lagi perkembangan ekonomi di negeri ini dengan lebih harmoni.

Jelasnya antara inisiatif bersama yang akan dijalankan ialah dengan menganjurkan Ekspo Perak, bersempena dengan program Dialog Pangkor yang dijadualkan berlangsung pada November tahun ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");