Berita Hari Ini

Pemimpin PPBM Kritik Nurul Izzah Gelar Dr M ‘Bekas Diktator’

PETALING JAYA: Nurul Izzah Anwar dikritik keras oleh pemimpin PPBM berikutan temu bual beliau dengan akhbar Straits Times Singapura yang menyaksikan ahli Parlimen Permatang Pauh itu menggelar pengerusi parti tersebut dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai bekas diktator.

Anggota Majlis Tertinggi PPBM Tariq Ismail Mustafa, cucu bekas timbalan perdana menteri Dr Ismail Abdul Rahman dan penyokong kuat Dr Mahathir berkata, gelaran itu tidak adil.

“Jika Dr Mahathir masih seorang diktator, beliau akan melantik kesemua anggota Kabinet daripada kalangan pemimpin PPBM,” katanya kepada FMT. “Seorang diktator merupakan satu-satunya suara yang ada.”

Beliau berkata, Dr Mahathir yang juga merupakan pengerusi Pakatan Harapan (PH) selalu menyerahkan kepada menterinya untuk membuat keputusan tentang langkah yang perlu diambil.

“Pernah kita dengar seorang diktator meletak jawatan dan kembali berkuasa melalui pilihan raya?”, tambah beliau.

Dalam temu bualnya dengan Straits Times, Nurul Izzah menyuarakan rasa tidak puas hati beliau berhubung perkembangan politik yang berlaku selepas pilihan raya umum tahun lepas, termasuk kekurangan naratif yang jelas mengenai usaha memperkuat aliran pertengahan, selain penerimaan bekas ahli Parlimen Umno ke dalam PH.

Menyifatkan tahun lepas sebagai “bergelora dan berkecamuk”, beliau berkata, tidak mudah untuk bekerja dengan Dr Mahathir.

“Maksud saya bekerja dengan bekas seorang diktator yang menjadi punca begitu banyak kerosakan, bukan sahaja kehidupan kami, tetapi juga sistem. Tidak mudah,” beliau dilaporkan berkata.

Tariq berkata, Nurul sepatutnya “menghargai apa-apa yang patut dihargai”, dengan menambah bahawa PH tidak mungkin memenangi pilihan raya umum 9 Mei lepas tanpa kehadiran Dr Mahathir.

“Nurul berhak ke atas pendapatnya, tetapi bapa beliau tidak meloloskan diri dari penjara,” katanya, merujuk kepada pembebasan Anwar Ibrahim dari penjara berikutan pengampunan diraja sebaik sahaja PH menang pilihan raya.

Beliau memahami kekecewaan Nurul berkait kurangnya perubahan yang berlaku setakat ini dengan berkata, beliau juga mahu melihat pembaharuan di negara ini.

“Bagaimanapun dalam tempoh peralihan, terutama dengan budaya kerja dalam perkhidmatan awam, ia akan mengambil masa.”

Ketua Pemuda PPBM dan juga menteri belia dan sukan dalam Kabinet Dr Mahathir, Syed Saddiq Abdul Rahman turut mempertahankan negarawan veteran itu dengan berkata, banyak pembaharuan telah berlaku di bawah kepimpinannya.

“Kita membolehkan kebebasan media, memberi kebebasan kepada Suruhanjaya Pilihanraya, memisahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia daripada Jabatan Perdana Menteri dan menggubal rancangan struktural untuk memerangi rasuah dalam Rancangan Anti-Rasuah Kebangsaan, yang merangkumi rang undang-undang berkenaan peraturan pembiayaan politik,” katanya kepada FMT.

“Jangan lupa, di bawah Dr Mahathir, semua anggota Kabinet telah mengisytiharkan aset dan pendapatan mereka, selain ahli Parlimen juga perlu melakukannya.”

Beliau berkata, Dr Mahathir sendiri beberapa kali meminta ditetapkan tempoh jawatan perdana menteri menerusi pindaan perlembagaan. Beliau juga mempunyai keberanian moral untuk melantik ahli bawahan parti sebagai anggota Kabinet,” katanya.

Dalam pada itu, bekas ahli PPBM, Khairuddin Abu Hassan berkata, kenyataan Nurul itu tidak sesuai dan tidak beretika.

“Inilah masalah parti komponen dalam PH. Sesetengah mereka tidak ikhlas,” katanya dengan menambah bahawa banyak masa dihabiskan untuk menjawab serangan daripada “kawan-kawan”.

Beliau juga berkata, ia mungkin merupakan usaha untuk melemahkan kredibiliti Dr Mahathir dan menjatuhkan beliau sebagai perdana menteri.

Penganalisis dari Universiti Utara Malaysia, Kamarul Zaman Yusoff mempersoalkan pilihan kata Nurul dalam temu ramah dengan akhbar harian Singapura itu, dengan menyebut tentang hubungan tegang Malaysia dengan republik itu kini.

Kamarul berkata, nada yang digunakan Nurul adalah konsisten dengan pendiriannya setakat ini, tetapi mengingatkan bahawa temu bual itu berserta peletakkan jawatan beliau sebagai anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan rancangannya untuk tidak mempertahankan kerusinya dalam pilihan raya umum ke-15 akan meningkatkan persepsi tentang khabar angin bahawa langkah itu bertujuan menekan perdana menteri supaya meletakkan jawatan.

“Sama ada kritikan itu bertujuan menambah tekanan ke atas perdana menteri atau tidak, namun kita sudah melihat segmen tertentu dalam PH mengangkatnya sebagai wira kerana keberaniannya, sementara segmen lain, termasuk dalam parti beliau sendiri, iaitu PKR, segara mengkritiknya.”

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya pula berkata, ia mewujudkan “persepsi bahawa ada sesuatu yang tidak kena sehinggakan Nurul merancang untuk tidak lagi aktif dalam politik”.

“Saya percaya ini akan membawa masalah kepada PH dan PKR kerana Nurul memilih untuk menyuarakan kekecewaan beliau secara terbuka, bukannya mengikut saluran dalaman PH,” katanya.

Walaupun beliau juga percaya bahawa kenyataan Nurul itu menggambarkan budaya keterbukaan dalam PH, namun beliau mengingatkan ia boleh dilihat sebagai perasaan beliau berkaitan masa depan bapanya dan merupakan mesej kepada Dr Mahathir supaya berundur lebih cepat.

Wong Chen dari PKR bagaimanapun bersimpati dengan kedudukan Nurul.

“Proses pembaharuan sangat mengecewakan, dan ini dipercayai disebabkan kurangnya azam untuk melaksanakannya,” kata beliau kepada FMT.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");