Berita Hari Ini

Penduduk Tak Boleh Terima Orang Berada Sewa PPR

KUALA LUMPUR: Apa yang berlaku di PPR Taman Manggis di Pulau Pinang baru-baru ini membuka mata ramai pihak betapa ramai penyewa sebenarnya mengambil kesempatan terhadap inisiatif kerajaan untuk membantu golongan memerlukan.

Malah, perkara ini tidak dapat diterima sama sekali oleh penduduk PPR sendiri seperti Hisham Ghazali, 51.

Sejak menjadi Pengerusi Penduduk PPR Seri Alam Fasa 2, Cheras pada 2011, dia menghadapi pelbagai masalah melibatkan penyewa termasuklah yang mempunyai pendapatan lebih tinggi berbanding penduduk lain.

“Kes penyewa kaya ini memang ada. Mereka tinggal dengan sesuka hati, malah ada yang tidak bayar sewa rumah sampai hutang beribu ringgit. Padahal kena bayar RM124 sahaja,” katanya kepada FMT.

Kata Hisham, disebabkan kewujudan penyewa kaya ini, langkah pencegahan perlu dilakukan dengan kerap.

Bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Hisham memberitahu bancian dibuat setiap minggu dan bulan bagi memastikan kediaman PPR tidak disalahguna.

Hisham Ghazali tidak dapat terima penyewa berpendapatan tinggi tinggal di rumah PPR.

“Mereka buat bancian pintu ke pintu, nak pastikan siapakah penghuni rumah, adakah dia layak ataupun tidak, kalau didapati ada salah laku, DBKL akan keluarkan notis. Perkara ini dilakukan sekurang-kurangnya seminggu sekali.

“Tapi kadang-kadang itu ada juga yang terlepas pandang. Mereka dapat tinggal pada masa yang lama,” katanya.

Hisham menganggap PPR bukanlah tempat tinggal yang sesuai untuk orang yang mampu memiliki rumah dan kenderaan sendiri.

“PPR ini kebajikan untuk golongan memerlukan, apabila sampai waktu mereka sudah mampu memiliki rumah sendiri, mereka tidak perlu tinggal di PPR lagi,” katanya.

Hisham sendiri perlu menunggu sehingga 5 ke 6 tahun untuk mendapatkan rumah di PPR Taman Mulia sebelum berpindah ke PPR Seri Alam.

“Saya kena isi borang dan pergi temuramah, kemudian tunggu giliran dan akhirnya dapat juga sebuah rumah.

“Sebab itu, kita tak boleh terima penyewa yang ambil kesempatan, ada lagi berpuluh ribu orang menunggu giliran dan layak untuk tinggal di PPR, berilah peluang pada orang lain yang lebih memerlukan,” katanya.

Berbuah-buah kereta

Seorang penduduk PPR Kerinchi, Misha Mansor, 30, tidak berpuas hati sesetengah penyewa berada begitu mudah mendapat rumah di PPR sedangkan penduduk lain perlu menunggu sehingga bertahun lamanya.

“Kalau nak kata berapa ramai penyewa yang sebenarnya mampu, memang banyak, itu standard di mana-mana PPR. Kereta pun sampai berbuah-buah.

“Nak mohon PPR senang tapi nak tunggu jawapan memang lama. Ada yang mudah dapat tapi yang peliknya apabila pemohon itu mempunyai ramai anak, mereka susah dapat,” katanya.

Selaku setiausaha Kejiranan Rukun Tetangga PPR Kerinchi Blok A, B dan C, Misha berkata badan itu sekadar mata dan telinga sahaja kepada DBKL.

“Jawatankuasa PPR Kerinchi tidak ada hak dan kuasa untuk bertindak, kami sekadar mengadu sahaja kepada DBKL dan mereka akan keluarkan notis. Tetapi mereka tidaklah selalu turun padang, kalau ada aduan baru mereka bertindak,” katanya.

Misha sendiri mengambil masa hampir 10 tahun sebelum keluarganya dapat berpindah dari rumah setinggan di Pantai Dalam Baru.

“Kita susah payah tunggu bertahun-tahun nak dapatkan rumah PPR tapi ada yang mengambil kesempatan begitu sahaja. Penduduk lain pula tidak dapat buat apa-apa, hanya mampu melihat sahaja,” katanya.

Terdahulu, 7 keluarga PPR Taman Manggis diarah mengosongkan rumah masing-masing pada Rabu kerana didapati tidak membayar tunggakan sewa, berpendapatan melebihi takat yang dibenarkan untuk unit PPR dan mempunyai suami atau isteri warga asing.

Unit-unit pangsapuri PPR, yang disewakan pada RM124 sebulan, ditawarkan kepada golongan berpendapatan isi rumah RM1,500 ke bawah.

Kerajaan Pulau Pinang berkata ia pernah memberikan notis 6 bulan kepada penduduk terkesan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");