Perak Hari Ini

Pengusaha Bas Ekspres Terminal Amanjaya Mohon MB Lanjutkan Penangguhan Operasi Jualan Tiket

IPOH: Para pengusaha bas ekspres di Terminal Bas Amanjaya, Meru Raya berharap agar Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dapat memberi maklum balas secara rasmi berkenaan keputusan terhadap cadangan melanjutkan penangguhan operasi jualan tiket di kaunter yang bakal berakhir 31 Mac ini.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ejen Jualan Tiket Bas Ekspres Terminal Amanjaya, Mohd Tarmizi Mohd Yusuf berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan empat mata dengan Ahmad Faizal di Pejabat Menteri Besar pada Rabu minggu lalu.

Katanya pertemuan yang berlangsung dengan baik itu turut dihadiri Pegawai Khas Menteri Besar, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh.

Jelasnya dalam pertemuan itu, Menteri Besar secara dasarnya bersetuju dengan cadangan mereka bagi mewujudkan kaunter bas di Kompleks Silveritage Galleria Medan Gopeng.

Menurutnya, Ahmad Faizal juga bersetuju untuk melanjutkan penangguhan operasi jualan tiket di Terminal Amanjaya selagi isu yang membabitkan kelangsungan hidup 200 kakitangan dan ejen jualan ini tidak selesai.

“Penangguhan selepas 31 Mac itu tidak ada lagi. Cuma cakap pada mulut sahaja. Tidak ada sebarang surat setakat ini.

“Saya kenangkan apa yang akan terjadi pada kesemua ejen di Terminal Amanjaya selepas 31 Mac ini.

“Kami bimbang jika masih lagi tiada surat rasmi, ia bakal menimbulkan polemik antara kami dengan pengusaha Terminal Amanjaya nanti,” katanya dalam satu sidang media di sebuah restoran di Jalan Jelapang, Meru, di sini, hari ini.

Selain itu, Penasihat pertubuhan, Ahmad Marzuki Mansor berkata dalam perjumpaan pada 20 Mac itu, Menteri Besar turut menyatakan akan bertemu dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam minggu ini, bagi menyegerakan kelulusan permohonan urusan turun dan naik penumpang di Kompleks Silveritage.

“Kita menyeru kepada Menteri Besar supaya perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin. Beliau pun bersetuju agar semua yang terlibat akan dapat terus mencari rezeki.

“Kita memohon agar dapat dilanjutkan lagi penangguhan operasi jualan tiket sehingga semuanya selesai secepat mungkin,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau berkata pihaknya juga ada menjelaskan kepada Menteri Besar bahawa cadangan pembukaan kaunter bas Kompleks Silveritage bukanlah sebagai mahu bersaing dengan Terminal Amanjaya sebaliknya ia sebahagian daripada langkah memberi keselesaan dan pilihan kepada penumpang.

“Kita ada sebutkan yang kita bukan nak tutup Terminal Amanjaya. Sebaliknya kita nak beri pilihan kepada penumpang.

“Kita pun ada menyatakan yang kita juga bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dan mana-mana pihak termasuk Perak Transit,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");