Perak Hari Ini

Penjawat Awam Diseru Berhati-hati Terima Maklumat Di Media Sosial

IPOH: Dalam era maklumat yang mudah diakses menerusi hujung jari, para penjawat awam diingatkan agar sentiasa menjadi pengguna media sosial yang bijak.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, beliau juga menyeru agar mereka sentiasa berhati-hati dalam menerima sebarang bentuk maklumat yang terdapat di media sosial.

“Kita sebagai insan yang ada prinsip serta maruah mestilah mempercayai dan berkongsi berita yang sudah pasti akan kesahihannya.

“Adalah malang jika kita sebagai penjawat awam, yang menjadi ‘mata rantai’ kepada penyebaran berita yang berunsur fitnah terutama isu-isu yang sensitif,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada PerakToday, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada penjawat awam agar media sosial dapat dimanfaatkan dan tidak menjadi ejen penyebaran berita palsu.

Walaupun berbeza pandangan politik, Dr Wan Azizah juga mengingatkan penjawat awam agar tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mendorong kepada unsur sabotaj terhadap kerajaan.

Hasnul pada masa sama turut sama menyambut baik saranan Timbalan Perdana Menteri.

Katanya, walaupun pimpinan kerajaan masa kini menghormati kepelbagaian pendirian politik seluruh rakyat namun bagi penjawat awam, mereka seharusnya menjalankan tugas dengan penuh profesional.

Beliau juga berharap agar kesemua penjawat awam dapat berkhidmat tanpa dibayangi fahaman politik masing-masing.

“Kami menghormati pendirian politik masing-masing dan ia adalah hak seluruh rakyat Malaysia tanpa sebarang kongkongan mahupun sekatan.

“Namun, mereka perlu berkhidmat kepada kerajaan yang memerintah atau government of the day, dengan melaksanakan tugas serta dasar-dasar kerajaan dengan profesional.

“Sikap profesionalisme dalam tugasan sangat penting bagi melancarkan sistem pentadbiran seterusnya memberikan kesejahteraan kepada rakyat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");