Perak Hari Ini

Penyokong LGBT Berarak: Armada Bersatu Perak Mahu Tindakan Tegas Diambil

IPOH: Armada Bersatu Perak menggesa agar suatu tindakan tegas dapat diambil terhadap penganjur perarakan bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Ketuanya, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata hal ini kerana penganjur telah bertindak membenarkan sekumpulan komuniti penyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) untuk menyertai perarakan tersebut.

Perarakan yang disertai kira-kira 1,000 orang itu yang sepatutnya meraikan golongan wanita dikatakan telah dicemari dengan penyertaan penyokong LGBT selain turut melaung slogan ‘hidup LGBT’ sebagaimana menerusi satu video yang telah tular di media sosial sejak semalam.

Ujar Mohd Hafez, perkara tersebut dilihat seolah-olah telah mencabar kedudukan agama Islam dan perlembagaan negara.

“Ia telah mencabar perlembagaan negara ini dan kita jelas tahu bahawa agama Islam adalah agama rasmi persekutuan.

“Islam secara jelas melarang perbuatan LGBT dan menyebarkan fahaman sedemikian. Ini sesuatu yang tidak patut dilakukan.

“Malah kita tidak patut membiarkan mereka daripada terus berleluasa melakukan sedemikian,” katanya.

Tambahnya, perlakuan tersebut juga adalah tidak wajar kerana ia telah mengguriskan perasaan umat Islam di negara ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas membuat laporan polis berkenaan perkara tersebut di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini, petang tadi.

Katanya laporan polis tersebut bertujuan supaya suatu tindakan dapat diambil bagi membendung perkara sama daripada terus berulang pada masa akan datang.

Terdahulu dalam satu kenyataan media, Mohd Hafez berkata perbuatan komuniti penyokong LGBT itu tidak sepatutnya berlaku kerana Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini secara jelas menegaskan bahawa amalan LGBT tidak diterima sama sekali di negara ini.

“Semua pihak perlu akur dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan yang juga mempunyai martabat tertinggi serta istimewa dalam negara ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");