KUALA LUMPUR: Kerajaan Perak bersedia menjadi hab sukan elektronik (e-sports) di negara ini bagi membantu merancakkan lagi sukan ini pada masa depan.
Exco Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Perak, Howard Lee menjelaskan untuk memastikan ia menjadi kenyataan, kerajaan negeri perlu meyakinkan semua pihak termasuklah golongan pelabur di negeri berkenaan.
“Memang cita-cita kita (menjadi hab e-sports), dalam perancangan kita untuk mengusahakan segala yang dapat meyakinkan pemain dan penggerak utama dalam ekosistem bagi memilih Perak sebagai hab.
“Ini kerana kami di kerajaan negeri tidak mahu jadikan ia syok sendiri, kita mahu jadikannya ekosistem dan untuk itu kita kena beri keyakinan jika mahu disukai … untuk capai keyakinan kita kena melabur.
“Cara kerajaan negeri melabur satunya dengan cara politik, kedua kita mempunyai sumber lain seperti idea, bakat, tanah dan dengan itu kami ingin gunakan apa yang ada untuk menarik pemain yang berhasrat melabur,” katanya.
Lee berkata demikian pada sidang media sempena penganjuran Persidangan Profesional Industri E-sports (EPIC), dekat sini, hari ini.
EPIC merangkumi tiga bahagian iaitu persidangan, pameran dan kejohanan dijadual berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini di Pusat Konvensyen Casuarina, Perak. Ia bakal mengumpulkan penggerak utama dalam dunia atau ekosistem sukan elektronik.
Lee menjelaskan ketika persidangan itu nanti, beberapa orang panel akan membincangkan mengenai faktor pembangunan akar umbi, ekonomi, ekosistem dan juga kesihatan.
Barisan panel bakal dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Turut berlangsung pameran dan kejohanan e-sports daerah Kinta, Perak bertujuan membuka peluang kepada semua lapisan belia menonjolkan bakat dan kemahiran masing-masing.
Lee memaklumkan untuk kejohanan berkenaan, 16 pasukan akan berentap dalam permainan konsol komputer – DOTA 2, telefon pintar iaitu PUBG (40 pasukan), Mobile Legends (32 pasukan) dan Playstation menerusi permainan FIFA19 (64 individu).
Penganjuran EPIC turut disokong MyGameOn iaitu sebuah portal media rasmi e-sports EPIC di bawah kendalian Media Prima Digital (MPD).
Selepas ini MPD akan menganjurkan XPAX Kejohanan E-Sukan Kampus (KEK) 2019 buat julung kali di Universiti Teknologi Petronas (UTP) pada 8 hingga 10 Mac ini.